Selasa, 12 Julai 2016

Maik nafi penuntut tajaan terlibat IS

Militan
Gambar hiasan
 
 
KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menafikan penuntut tajaannya terbabit dengan gerakan militan (IS).

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, jumlah keseluruhan penuntut seramai 14,000 yang berada di dalam dan luar negara termasuk 1,000 daripada mereka mengikuti pengajian terutama di Timur Tengah, sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

"Bagi memastikan pelajar tajaan Maik tidak terbabit dengan anasir yang kurang sihat itu, pihaknya sentiasa berhubung dengan pegawai Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang ditugaskan di sana.

"Setakat ini Maik bekerjasama dengan pegawai Yik yang bertugas di sana kerana kami sudah menyediakan asrama yang lengkap untuk kemudahan penuntut di sana," katanya kepada pemberita di bangunan Maik, di sini, hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata, menerusi kerjasama erat itu, pihaknya memantau kegiatan penuntut untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan IS secara langsung atau tidak langsung.

"Maik sentiasa memberi komitmen terhadap perkembangan penuntut tajaan majlis itu bukan setakat pemberian biasiswa, malah pemantauan dari semasa ke semasa selepas mereka menamatkan pengajian," katanya.

Tiada ulasan: