Sabtu, 2 Julai 2016

Kes tembak semakin berleluasa

obt
 

MUDAH mendapat senjata api. Itu antara punca utama semakin banyak kes tembak yang berlaku di seluruh negara akhir-akhir ini.

Pada bulan lalu, sekurang-kurangnya enam kes tembakan telah berlaku di sekitar Lembah Kelang dan Sarawak, kebanyakannya bermotifkan balas dendam.

China Press menemu bual seorang pegawai kanan polis yang memberitahu, disebabkan senjata api ini semakin berleluasa,  sesiapa pun termasuk ahli kongsi gelap dan perompak akan menggunakannya untuk tujuan membunuh dan merompak.

Pegawai polis yang enggan dikenali itu berkata, apabila seseorang itu memperoleh sepucuk pistol, perasaannya akan semakin berani untuk membunuh, merompak ataupun lakukan ugutan.

"Kini apa yang lebih menakutkan ialah sesiapa sahaja pun boleh memegang pistol untuk membunuh. Kalau terima upah, mereka sanggup membunuh tanpa peri kemanusiaan.

"Namun ada di antara mereka ini tidak pernah dilatih menggunakan pistol. Sebab itulah terdapat kes di mana walaupun ada penembak yang telah melepaskan 10 das tembakan, namun orang yang hendak dibunuhnya masih selamat," katanya.

Selain itu, katanya, ada juga kes berselisih faham kecil tetapi sampai ada yang mengeluarkan pistol untuk mencederakan orang yang didendaminya.

Sebelum itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksana ‘Ops Cantas’ bagi membendung kejadian tembakan yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Katanya, kejadian tembakan tersebut mendatangkan kegusaran kepada masyarakat umum yang berasa seolah-olah negara kita seakan negara cowboy.

Musa dilaporkan turut meminta polis memperkasakan kembali Ops Cantas Kongsi Gelap susulan insiden kes tembak yang semakin banyak.

Katanya, kejadian tembakan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, selain menggugat ketenteraman awam di negara ini.

“Saya berharap pihak polis dapat jalankan Ops Cantas kembali. Berkemungkinan kejadian kes-kes tembak ini berlaku kerana wujudnya salah faham antara mereka (kumpulan kongsi gelap),” katanya.

Beliau menyarankan pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan di sempadan negara bagi menyekat penyeludupan senjata api ke negara ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pihak polis menahan seramai 646 individu dalam Ops Cantas di seluruh negara sejak 1 Januari lalu sehingga kelmarin. Kesemua mereka telah diambil tindakan di bawah Poca dan dikenakan Perintah Tahanan dan Sekatan Kediaman.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, selepas melakukan siasatan, adalah didapati kebanyakan kes tembakan yang berlaku mempunyai kaitan dengan tindakan balas dendam,. Bagaimana pun keadaannya masih terkawal.

Beliau meminta orang ramai jangan terlalu bimbang kerana polis Selangor sentiasa berjaga-jaga terhadap kes berkenaan.

Antara kes-kes tembakan yang berlaku sepanjang bulan Jun lalu:

15 Jun - Seorang ahli perniagaan ditemui mati ditembak di dalam kenderaannya dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sungai Rasau, Shah Alam. Mangsa dikenali Gooi Tan Hock, 43, ditemui mati dengan enam kesan tembakan di badan.

21 Jun - Setiausaha PKR Cabang Miri dan bekas calon Dun Bekenu, Bill Kayong, ditemui mati ditembak di lampu trafik berhampiran pusat membeli belah E-mart di Jalan Permyjaya-Kuala Baram di Senadin, Miri.

21 Jun - Dua lelaki dipercayai adik-beradik cedera dalam kejadian tembak di Jalan Besar Sunway, Batu Caves. Mereka berusia 30 dan 34 tahun, masing-masing mengalami kecederaan di telinga kanan dan pipi kiri serta kepala.

29 Jun - Seorang pengurus besar syarikat swasta cedera parah ditembak individu yang menaiki motosikal ketika memandu kereta di Lebuhraya Utara Selatan dekat Desa Petaling. Mangsa lelaki berusia 40 tahun itu terkena lima das tembakan daripada enam das tembakan yang dilepaskan oleh suspek dalam kejadian jam 8.40 pagi itu.


Tiada ulasan: