Sabtu, 2 Julai 2016

'Kenapa salahkan Tun Mahathir?'

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman


SHAH ALAM - Bekas Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mempersoalkan tindakan sebilangan pihak yang menyalahkan bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamaddalam memperkasakan sistem pengangkutan di negara ini.

Menurut Syed Saddiq, sekiranya ada pihak menyalahkan masa lalu untuk keadaan yang berlaku pada masa kini, maka tidak mustahil rakyat negara ini akan menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kegagalan Malaysia untuk tahun 2066 akan datang.

“Tun M letak jawatan pada tahun 2003, sekarang 2016 dan 13 tahun Malaysia tidak diperintah olehnya, tetapi tetap nak salahkan beliau.

“Tun M telah memperkasakan sistem pengangkutan awam melalui rangkaian sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), teksi murah dan sebagainya tapi tetap nak salahkan beliau,”katanya menerusi kemas kini status di laman sosial Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengingatkan setiap pihak agar dapat bermuhasabah diri terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain.

 Katanya, walaupun Najib pernah menjadi Menteri Pertahanan (91-95 dan 2000-2008), hal berkaitan keselamatan sempadan negara masih tidak selesai dan ia sentiasa dicerobohi oleh pengganas malah isu skandal pembelian kapal selam Scorpene yang dibicarakan di Mahkamah Perancis turut berlaku ketika pentadbiran beliau.

“Najib juga pernah menjadi Menteri Besar Pahang pada tahun 1982-1986 namun sehingga sekarang negeri itu dilanda pelbagai skandal seperti bauksit yang melibatkan wang, kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Jika orang tetap menyalahkan masa lalu untuk keadaan masa kini, ini bermakna 50 tahun akan datang, rakyat Malaysia akan menyalahkan Najib mengenai kegagalan Malaysia pada 2066,”katanya.


Tiada ulasan: