Selasa, 5 Julai 2016

Kelantan tidak isytihar cuti 10 Julai

SINAR HARIAN
Ahmad Yakob
Ahmad Yakob


KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menganggap cuti Hari Raya Aidilfitri selama empat hari di negeri ini sudah mencukupi bagi memberi peluang kepada anak perantauan berurusan di pejabat pada hari berikutnya iaitu Ahad, 10 Julai.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, empat hari cuti iaitu dua hari cuti raya dan dua hari lagi cuti mingguan sudah mencukupi.

"Saya merasakan hari Ahad itu kita berilah peluang kepada anak-anak di perantauan berurusan di pejabat kerajaan selepas balik sekali sekala ke kampung halaman.

"Kita melihat kepentingan anak perantauan untuk apa-apa urusan pejabat," katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesara dan penghulu di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi mengenai keputusan beberapa negeri seperti Kedah, Terengganu, Johor yang memberi cuti peristiwa pada 10 Julai berikutan sambutan Aidilfitri.

Mengenai majlis penyampaian sumbangan itu, Ahmad berkata sebanyak 791 penghulu menerima RM250 setiap seorang sebagai sumbangan Aidilfitri manakala 69 pesara penghulu turut menerima RM100 bagi setiap tahun mereka berkhidmat.

Katanya bekas penghulu yang berkhidmat selama 24 tahun layak menerima sumbangan sebanyak RM2,400.

Sementara itu, Ahmad melahirkan rasa simpati ke atas keluarga mangsa kemalangan jalan raya yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, kira-kira pukul 1.20 pagi hari ini.

Beliau berkata pemilik kenderaan berat sepatutnya lebih mengutamakan keselamatan dan berhemah terhadap pengguna kenderaan ringan bagi mengelak kemalangan sehingga mengorbankan banyak nyawa di saat umat Islam mahu menyambut hari gembira Aidilfitri.

Tujuh yang maut itu daripada sebuah keluarga yang kesemuanya menaiki sebuah kereta Perodua Myvi dalam perjalanan pulang untuk menyambut Aidilfitri di Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Kuala Krai. - Bernama


Tiada ulasan: