Isnin, 4 Julai 2016

Jangan pakai jubah di luar negara, nasihat UAE kepada rakyat

 
Insiden itu berpunca daripada seorang pekerja hotel mengesyaki Ahmed yang memakai jubah putih dan berikrar taat setia kepada IS ketika bertutur bahasa Arab menerusi telefon.


Ahmed-al-Menhali


PETALING JAYA: Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menasihatkan rakyatnya tidak memakai jubah putih ketika berada di negara lain bagi memastikan keselamatan diri terjamin susulan insiden seorang warganegara itu ditahan kerana disangkakan suspek IS.

UAE turut memanggil diplomat kanan Amerika Syarikat bagi membantah “layanan kasar” terhadap Ahmed al-Menhali yang ditahan di sebuah hotel di pinggir bandar Cleveland, Ohio ketika beliau dalam perjalanan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

Kementerian Luar UAE dipetik Al Jazeera sebagai berkata, pihaknya menyuarakan rasa tidak puas hati dan menuntut penjelasan berhubung penahanan Ahmed hanya kerana beliau mengenakan pakaian kebangsaan negara itu, iaitu jubah putih dan ghutra pada Rabu lalu.

Insiden itu berpunca daripada seorang pekerja hotel yang mengesyaki Ahmed berikrar taat setia kepada IS ketika bertutur bahasa Arab menerusi telefon.

“Pekerja itu segera menghantar mesej kepada adiknya bagi memaklumkan perkara itu, sebelum menghubungi polis dan mendakwa saya berikrar taat setia kepada Isis dan polis segera bertindak balas seakan-akan saya membawa senjata,” katanya melalui seorang rakan kerana ketidakupayaannya bercakap dengan betul akibat serangan angin ahmar sebelum ini.

Polis kemudiannya melepaskan Ahmed selepas mengesahkan beliau tidak mendatangkan sebarang ancaman dan pegawai dari pinggir bandar Cleveland turut memohon maaf kepada Ahmed atas insiden itu.

Ahmed berkata, beliau sedang mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan lanjut.

Insiden Anti-Islam meningkat secara mendadak di Amerika ekoran serangan IS di negara barat.

Semalam, seorang doktor Islam di Texas ditembak dan ditikam ketika dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh.

Sabtu lalu, seorang lelaki Muslim turut diserang berhampiran sebuah masjid di Florida.

Tiada ulasan: