Selasa, 12 Julai 2016

Isu Shafie: ‎Lagi keluar Umno di Sabah‎

 Isu Shafie: ‎Lagi keluar Umno di Sabah‎
Sebilangan 600 anggota Umno yang mengumumkan keluar parti semalam.


SHAH ALAM - Hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno dan tidak bersetuju dengan pengantungan terhadap bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi punca seramai 600 anggota Umno daripada 100 cawangan di bahagian Batu Sapi, Sabah, mengumumkan keluar parti serta-merta.

Bekas Ketua Pemuda Umno Semporna, Datuk Azis Jamman berkata, pengumuman itu dibuat oleh  naib ketua Umno bahagian itu Pangiran Roslan Pangiran Nasrun, dalam sidang medianya di Sandakan semalam.

"Mereka ini tidak bersetuju dengan pengantungan Mohd Shafie kerana mereka sudah hilang tempat bergantung dan mengadu permasalahan mereka.

"Pengantungan terhadap Mohd Shafie mereka anggap sebagai satu penghinaan terhadap rakyat negeri Sabah seolah-olah semenanjung tidak senang bila Mohd Shafie dilihat sebagai ancaman terhadap kedudukan orang-orang tertentu di semenanjung dan di negeri Sabah," katanya kepada Sinar Online.

Sebelum itu pada empat Julai lalu, Shafie telah mengumumkan bahawa beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada Umno.

[ARTIKEL BERKAITAN: Shafie umum keluar Umno]

Jelas Mohd Shafie, walaupun  telah keluar dari Umno, beliau akan tetap meneruskan perjuangan di Sabah demi rakyat di negeri itu yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat.

Pada 24 Jun lalu, Majlis Tertinggi Umno (MT) memutuskan agar bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir‎ dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta manakala Shafie pula digantung dari jawatannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu turut berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh MT Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.


Tiada ulasan: