Jumaat, 8 Julai 2016

Hari Raya hambar kerana ekonomi meleset akibat korupsi



guan eng

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barangan asas pada musim Hari Raya menjadikan sambutan tahun ini lebih mencabar berbanding dengan tahun sebelumnya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan Aidilfitri beliau hari ini memberi peringatan bahawa masalah utama rakyat Malaysia adalah ekonomi yang kian meleset akibat oleh pengenaan GST dan penurunan nilai matawang ringgit ekoran skandal kewangan 1MDB sebanyak RM50 bilion dan skandal derma RM4 bilion.

“Kenaikan harga minyak buat pertama kali sejak bulan April 2016, sungguhpun hanya 5 sen adalah petunjuk bahawa keadaan ekonomi akan bertambah lebih buruk lagi.

“Kini harga petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing pada harga RM1.75, RM2.10 dan RM1.60 seliter,” ujar beliau.

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, kemelesetan ekonomi hanya boleh diatasi sekiranya tindakan tegas diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas skandal melibatkan 1MDB.

“Itulah sebabnya kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap skandal pembelian 234 ekar tanah di Air Itam, Pulau Pinang, oleh 1MDB dengan harga RM1.3 bilion.

“Kerajaan negeri telah mengharamkan segala urusniaga tanah ke atas 234 ekar tanah di Air Itam itu sehingga skandal 1MDB dan “donation” ini diperjelaskan dan diselesaikan,” tambah beliau.

Dalam kenyataan serupa, Ahli Parlimen Bagan itu turut menegaskan tidak terlibat dalam amalan rasuah, terutamanya yang berkait dakwaan korupsi melibatkan pembelian rumah beliau.

“(Kita) akan membuktikan bahawa penjual rumah tidak menerima sebarang faedah dan manfaat yang khas atau luar biasa dan juga tidak ada hubungan perniagaan dengan kerajaan negeri,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, dakwaan rasuah terhadapnya adalah satu konspirasi politik jahat untuk mengalihkan perhatian awam daripada skandal rasuah sebenar BN dalam negara. – Roketkini.com


Tiada ulasan: