Ahad, 3 Julai 2016

'DAP kutip sumbangan awam kerana tiada derma dari Arab Saudi'

MALAYSIAKINI


DAP terpaksa mengutip derma dari orang awam untuk membayar ikat jamin sebanyak RM1 juta dalam kes Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana parti itu masih bergantung kepada dana daripada orang ramai.

"Sebagai parti yang masih bergantung kepada sumbangan dan derma daripada orang ramai, dana dicairkan sebanyak RM1 juta bukan melibatkan tanggungan yuran yang kecil," kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, Steven Sim dalam catatan Facebook, hari ini.

Beliau berkata, walaupun DAP menjadi kerajaan negeri Pulau Pinang sejak 2008, parti itu masih bergantung kepada sumbangan orang ramai kerana tidak menyalah gunakan dana awam untuk kepentingan parti.

"Wang negeri adalah wang rakyat, bukan wang parti dan DAP sangat tegas dalam hal ini," jelasnya sambil menambah parti itu tidak pernah menggunakan satu sen pun dari dana keajaan negeri untuk kegunaan politik.

Merujuk kepada derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang kononnya diberikan oleh raja Arab Saudi, Sim berkata, DAP tidak mempunyai hubungan dengan penderma Arab yang boleh membantu.

"Oleh itu, biarlah BN ketawakan pemimpin dan ahli-ahli DAP kerana perlu menggunakan tin Milo untuk mengutip derma daripada orang ramai tetapi masih berpegang kepada prinsip-prinsip parti," tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan aktivis Fahmi Reza yang menyatakan wang yang dibayar untuk ikat jamin akan dikembalikan.

"Adakah wang RM1 juta yang disumbangkan oleh orang ramai akan dibayar balik kepada setiap penderma selepas perbicaraan Lim berakhir?

"Jika tidak, apakah wang itu akan dimasukkan ke dalam satu tabung yang akan digunakan untuk membantu membayar ikat jamin aktivis lain pada masa akan datang?," tanya Fahmi

Tiada ulasan: