Ahad, 10 Julai 2016

Chandra dakwa wujud kem dalam PKR bukti kegagalan Wan Azizah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Meskipun sudah lebih 15 tahun PKR ditubuhkan, parti itu masih lagi gagal mengawal sikap berpuak-puak yang wujud baik dalam kalangan ahli mahupun kepimpinan terttinggi mereka.
 
Bekas Timbalan Presidennya Dr Chandra Muzaffar berkata, walaupun beliau meninggalkan parti itu pada 2001, situasi tersebut lebih menyerlah selepas Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan. 
 
"PKR mempunyai banyak puak dan ia berlaku hingga sekarang. Melihat kepada pimpinan PKR sekarang, kita memerlukan pemimpin atasan yang memiliki kemahiran politik tertentu.
 
"Di mana yang boleh mendamaikan pihak tertentu, mengadakan rundingan dan buat penyelesaian yang boleh memuaskan kehendak pihak tertentu, memandangkan ia satu cabaran yang besar," katanya dalam temubual bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
Justeru beliau menyifatkan kewujudan beberapa kumpulan dalam PKR membuktikan kepimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail gagal dalam mengemudi parti itu.
 
PKR mula dikaitkan dengan pelbagai masalah dalaman, pertelagahan di kalangan pimpinan parti sehingga wujud kumpulan-kumpulan tertentu yang diketuai pemimpinnya sendiri.
 
Dakwaan mengatakan dua kumpulan atau kem wujud di dalam PKR, yang membabitkan kem Wan Azizah dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Merujuk keadaan itu, Chandra berkata Wan Azizah ternyata gagal menggalas tanggungjawab dalam menyatupadukan ahli-ahli dalam parti.
 
"Dari segi simbolik, beliau sesuai. Tetapi dalam sebuah parti politik, dalam perjuangan politik, kita memerlukan pemimpin yang lebih dari simbolik," katanya.
 
Selain daripada masalah berpuak itu, Chandra juga berpendapat PKR masih berada di takuk lama.
 
"Dari segi negatifnya ada tiga. Pertama, parti masih taksub dengan individu dan ia merupakan satu kelemahan besar. Kedua, masih wujud puak, dan tak dapat diatasi. 
 
" Jika dilihat hari ini, PKR ada cabaran dua kelompok dalam parti. Ketiga saya nampak PKR tidak berjaya membawa apa yang diuar-uarkan, contohnya budaya politik baru, bersih dan integriti. Tidak ada bukti," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: