Selasa, 5 Julai 2016

Anggota Rela wanita ditahan disyaki subahat rompak JPJ

 
Wanita itu berkhidmat sebagai anggota Rela di JPJ kira-kira tiga tahun lalu dan merupakan saksi utama kes rompakan terbabit.


polis_rela_600


PETALING JAYA: Seorang wanita yang berkhidmat sebagai anggota Rela ditahan kerana disyaki bersubahat dengan dua perompak yang melarikan RM754,000 dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif yang dipetik China Press mengesahkan wanita itu ditahan selepas polis merekodkan keterangannya semalam.

Menurutnya, wanita itu berkhidmat sebagai anggota Rela di JPJ kira-kira tiga tahun lalu dan merupakan saksi utama kes rompakan terbabit.

Sementara itu, Oriental Daily memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa sebagai berkata, dua anggota Rela ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Seorang daripada suspek itu adalah wanita berusia 41 tahun terbabit dan kedua-duanya akan direman selama dua hari.

Dalam kejadian jam 5.40 petang Isnin itu, kedua-dua suspek bertopi keledar memasuki pejabat JPJ di Jalan Genting Kelang, Setapak melalui pintu belakang.

Perompak bertindak mengacukan parang ke arah seorang petugas wanita sebelum merampas wang tunai di kaunter bilik Unit Hasil ketika proses pengiraan wang hasil pendapatan harian dilakukan dua pegawai awam.

Tiada ulasan: