Khamis, 7 Julai 2016

Ancaman IS adalah fenomena baharu

IS
Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Ancaman kumpulan militan IS yang kini dihadapi dunia merupakan satu fenomena baharu dan berbeza dengan ancaman yang pernah dihadapi oleh negara ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ancaman IS atau Daesh merupakan pengalaman dan cabaran baharu kepada negara susulan penggunaan landasan media sosial sebagai kaedah utama untuk merekut anggota serta menyebarkan fahaman ekstremis kumpulan itu.

Katanya Malaysia telah melalui ancaman era kumpulan militan seperti Al Qaeda, Al-Maunah, Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) sedekad lepas tetapi pendekatan IS ada berbeza.

"Fahaman Daesh menular melalui saluran media sosial berbanding kumpulan militan lain sebelum ini," katanya kepada pemberita majlis Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Justeru, katanya, pendekatan kumpulan militan itu mewajarkan Malaysia bertukar pandangan dan maklumat risikan dengan pihak berkuasa Belgium, Perancis, Arab Saudi dan Sri Lanka bagi mengetahui perkembangan terbaru kumpulan itu.

Mengenai serangan bom tangan oleh anggota kumpulan Daesh di Movida Bar & Lounge di Puchong,
Selangor, pada 28 Jun lepas, Hishammuddin berkata kejadian itu tidak boleh dipandang remeh dan pengawasan terhadap kawasan tumpuan ramai perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang menyiasat serangan yang mencederakan lapan orang awam itu dari segala sudut.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan serangan bom tangan di pusat hiburan itu didalangi kumpulan IS atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Siasatan awal polis mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan pada 1 Julai lepas berhubung insiden itu memperoleh bom tangan itu dari negara jiran.

Hishammuddin berkata tanggungjawab pihak berkuasa adalah untuk memastikan rakyat negara ini tidak dipengaruhi atau mengikut jejak kumpulan IS serta mempunyai pelan tindakan komprehensif bagi mengagalkan rancangan kumpulan itu. - Bernama

Tiada ulasan: