KUALA LUMPUR: Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) menyarankan
agar satu kajian pendapat di kalangan orang ramai dilakukan berhubung
pelantikan ketua pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam ASLI, Tan Sri Ramon Navaratnam
berkata, ia bagi memastikan individu yang dilantik itu mendapat sokongan
meluas dalam usaha memerangi rasuah dengan lebih berkesan.
Ujarnya, sekiranya pandangan dan pertimbangan meluas orang ramai tidak
dapat diperoleh ketika ini, pihak berkenaan perlu merujuk kepada
jawatankuasa khas mengenai pencegahan rasuah Parlimen bagi mendapatkan
kelulusannya.
"Jawatankuasa khas ini mempunyai tiga Anggota Parlimen daripada
kerajaan, tiga lagi Anggota Parlimen pembangkang dan ia dipengerusikan
oleh Yang Dipertua Dewan Negara.
"Oleh itu, kewibawaannya amat tinggi dan ia perlu dirujuk sepenuhnya
selain memberi pandangannya secara terbuka tentang pemilihan yang dibuat
supaya rakyat lebih yakin terhadap ketua pesuruhjaya baharu SPRM,"
katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan mengundurkan
diri pada 1 Ogos manakala timbalan beliau Datuk Seri Mohd Shukri Abdull
akan bersara pada 3 Okt ini.
Navaratnam juga mengesyorkan beberapa kriteria yang perlu dipertimbang
kerajaan untuk memilih ketua pesuruhjaya baharu SPRM termasuk individu
berkenaan perlulah dilantik daripada kalangan warga SPRM sendiri dan
bukannya dari luar.
Menurutnya orang dalam SPRM itu mestilah memiliki pengalaman luas,
kecekapan, pengetahuan tentang operasi di peringkat lapangan dan
mempunyai dedikasi tinggi setelah sekian lama terlibat dengan tugas
memerangi rasuah.
Beliau berkata individu itu perlu memiliki kejujuran dan integriti yang
tinggi kerana tiada gunanya memilih seorang ketua pesuruhjaya baharu
tetapi mempunyai rekod perkhidmatan tercemar atau diragui integritinya.
"Ketua pesuruhjaya baharu perlulah memiliki jati diri, keperibadian dan
komitmen yang tinggi untuk menunaikan tugas memerangi rasuah secara
habis-habisan sebelum ia merebak dalam sistem kita seperti barah.
"Beliau perlulah mampu untuk berdiri teguh dan tegas terhadap sebarang
campur tangan politik dan komersial daripada mana-mana pihak, sama ada
yang tinggi atau rendah kedudukannya," kata Navaratnam.
Menurutnya ketua pesuruhjaya baharu itu juga perlulah merupakan ketua
yang mampu memberi inspirasi untuk membawa seluruh warga SPRM ke tahap
baharu dalam perjuangan menentang rasuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan