Khamis, 10 September 2015

Wan Azizah: Himpunan Baju Merah perkauman, perlu dihentikan

 
PKR tidak membenarkan ahli-ahlinya menyertai himpunan yang akan diadakan pada 16 September di Kuala Lumpur. 


Wan-Azizah_antinbersih_600


PETALING JAYA: Perhimpunan Baju Merah yang dirancang pada 16 September ini bermotifkan perkauman dan perlu dihentikan, kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, sekiranya himpunan itu diteruskan, ia boleh membawa kejatuhan kepada nilai masyarakat dan kewarasan.

Katanya, walaupun penganjuran perhimpunan aman dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta
Perhimpunan Aman 2012, tetapi tujuan dan motif perhimpunan atas dasar perkauman tidak wajar dilakukan.

“Ia boleh mengakibatkan kebejatan keharmonian dan kaum, apatah lagi dicadang untuk dilakukan di kawasan majoriti kumpulan etnik Cina iaitu Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

“Lebih malang lagi, dilaporkan ada pimpinan UMNO yang menggesa ahli-ahlinya untuk turut serta perhimpunan berkenaan.

“Atas dasar itu, Keadilan tidak membenarkan ahli-ahlinya menyertai himpunan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Wan Azizah menggesa Polis Diraja Malaysia bertindak menghentikan sebarang tindakan provokasi perkauman seperti yang dipaparkan menerusi poster-poster berkenaan di ibu negara yang berkait dengan himpunan itu.

“Hari ini, Keadilan turun ke Bukit Bintang menghulurkan mesej keamanan kami kepada semua kumpulan etnik untuk kita sama-sama menyelamatkan negara sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Ketua Pembangkang itu mencadangkan kepada pihak penganjur himpunan menumpukan kepada penyelesaian kemelut ekonomi dan politik negara yang dihadapi oleh rakyat.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Pembangkang dh 4 kali buat himpunan. Kami baru kali ke 2