Sabtu, 12 September 2015

Tun Mahathir: Dia macam boleh teka...


Tun Mahathir: Dia macam boleh teka...
Dr Mahathir pada sidang media selepas tayangan perdana filem Kapsul, malam tadi.
 
 
SKRIP filem Kapsul yang telah dihasilkan pada tahun 2009 oleh‎ penulisnya, Allahyarham Martias Ali seolah-olah ‘kena’ dengan apa yang berlaku pada hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melihat suasana politik semasa dan filem itu malam tadi, Martias seakan-akan boleh menekanya sejak enam tahun lalu.

“Ketika dapat tahu filem ini, saya tanya produksi bila skrip ini dibuat dan adakah skrip ini diubah? Jawapan diberi kepada saya, skrip ini dibuat pada tahun 2009 dan tiada sebarang perubahan dibuat (sehingga hari penggambaran).

“Ini seolah-olah Allahyarham Martias Ali (penulis skrip) boleh meneka apa yang akan terjadi di kemudian (hari),” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Tayangan Perdana Filem Kapsul, malam tadi.

Kapsul merupakan filem cereka yang diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam Dr Mahathir suatu ketika dahulu di mana isi kandungannya masih menjadi rahsia sehingga 1 Januari 2020 kelak.

Ia mengisahkan perjalanan Zohri Ibrahim lakonan Faizal Hussien secara tidak sengaja dibawa mengembara ke zaman silam di mana dia dapat menyelami sendiri perubahan zaman daripada sebelum merdeka sebelum kembali ke zamannya.

Idea filem ini adalah hasil interpretasi penulis tentang bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul tersebut mengenai amanat Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menggambarkan bahawa Wawasan 2020 yang menjadi sasaran negara ini kurang lima tahun daripada sekarang, sukar untuk dicapai.

“Cerita ini juga mengalir kepada apa yang…politiklah…apa yang sedang berlaku sama ada Wawasan 2020 akan tercapai ataupun tidak.

“Nampak seolah-olah…nampak ia (Wawasan 2020) kurang yakin (untuk dicapai),” katanya.

Kapsul adalah filem pertama Martias Ali namun beliau hanya sempat terlibat dalam proses penggambaran serta suntingan awal sebelum menghembuskan nafasnya yang terahir pada 29 Mei 2014 akibat kanser darah.

Filem Kapsul bakal ditayang di pawagam seluruh Malaysia pada 17 September ini dengan penampilan khas Dr Mahathir.

Filem terbitan sulung Two Tones Sdn Bhd itu mengandungi 60 peratus elemen CGI yang direka dan dibangunkan sendiri oleh kakitangan syarikat itu.

Berlatarkan lokasi sekitar Kuala Kangsar, Lenggong, sayong, Ipoh, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan Klang, rakaman filem Kapsul mengambil masa selama 25 hari.

Selain Faizal Hussien, filem yang menelan belanja RM2.3 juta itu turut menampilkan 30 pelakon tanah air serta 200 pelakon tambahan.

Antaranya, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Shahruddin Tambi, Aman Graseka, Adam Corrie Lee, Haeriyanto Hassan, Jue Aziz, Zamarulhisham, Fadilah Mansor dan Elly Mazlien.


Tiada ulasan: