Ahad, 6 September 2015

Tegas pertahan PDRM, kata anak bekas IGP

Norman Goh dan Al-Abror Mohd Yusuf


 


Berpengalaman sebagai wartawan jenayah dan bapanya dibunuh penjenayah, Najib Abdul Rahman mencabar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya bertegas mempertahankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Gesaan itu dibuat Najib ketika situasi politik negara berdepan ketidaktentuan.

"Saya tahu sebab bapa saya bekas IGP (ketua polis negara).
Dalam keadaan apa pun dia (Khalid) berasa dia perlu patuh kepada perdana menteri.

"Perdana menteri adalah bos dia, manakala menteri dalam negeri adalah orang atasannya. Salah atau betul, menjadi tugasnya untuk melindungi PM. Itu adalah tatacara operasi standard beliau.

"Tapi ia berbeza apabila anda bercakap mengenai prinsip peribadi," katanya kepada Malaysiakini dalam pertemuan baru-baru ini.

Najib adalah anak kepada Ketua Polis Negara ketiga, Tan Sri Abdul Rahman Hashim.

Lahir di Yan, Kedah, Abdul Rahman memulakan tugasnya dalam pasukan polis pada Oktober 1941 dan menjawat pelbagai jawatan sebelum dilantik menjadi IGP.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman sebelum dinaikkan pangkat menjadi Timbalan IGP pada 1972 sebelum menjadi ketua pasukan itu pada 1 Februari 1973.

Bagaimanapun Abdul Rahman ditembak mati di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974. Kerajaan menuding jari kepada komunis sebagai pembunuh Abdul Rahman.

Lantang kritik

Najib lantang mengkritik Khalid dan menganggapnya "kekurangan prinsip peribadi sebagai pemimpin".

Sering menyatakan pandangannya melalui Facebook, Najib berkata, Khalid perlu mengambil masa bercermin sambil bertanya kepada diri sendiri beberapa soalan.

Pertama, katanya, adalah dia akan menjadi pejuang Islam dan mempertahankan prinsip seorang pemimpin mengikut perspektif Islam.

"Kedua adakah dia akan menjadi pemimpin sejati kepada anggotanya dengan menunjukkan jalan yang benar.

"Ketiga, adalah beliau akan menjadi pelindung rakyat dan keadilan, atau hanya jadi pengampu kepada tuan politiknya.

"Hanya Khalid boleh menjawab tiga soalan ini," katanya.

Menceritakan mengenai bapanya, Najib memberitahu Abdul Rahman adalah tokoh yang tidak boleh dipengaruhi atau dibeli.

Kata Najib, Abdul Rahman sangat dihormati ahli politik dan menteri walaupun ketika itu belum menjadi IGP, sebaliknya Pengarah Cawangan Khas.

"Apabila mereka nampak kereta arwah ayah saya, mereka akan berhenti daripada apa saja yang mereka lakukan dan menyambutnya. Itu penghormatan yang beliau dapat pada masa itu.

'Ayah saya bersih'

"Ayah saya pernah bertanya mengapa menteri begitu hormat kepadanya. Dia kemudian memberitahu sebabnya - kerana dia tahu semua yang menteri lakukan atau ke mana mereka pergi. Semuanya.

"Ayah saya sendiri bersih. Tak ada sesiapa boleh membeli dia," katanya.

Paling utama, kata Najib, Abdul Rahman adalah tokoh yang pintar dan dikenai sebagai seorang "pemimpin" kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas kenyataan itu, Najib berkata beliau tidak memandang rendah kepada PDRM sekarang.
Cuma katanya, anggota pasukan itu berhak mendapat pemimpin yang lebih baik.

"Anggota polis kita antara yang terbaik di dunia tetapi malangnya mereka kecewa dengan kepimpinan yang ada.

"Melihat peranan dimainkan IGP sekarang, saya berharap bapa saya masih ada," katanya.

Najib juga menyatakan rasa kesalnya terhadap kualiti kepimpinan Khalid ketika ini.

"Dia (Khalid) kena buat keputusan mahu jadi apa," katanya.

Tiada ulasan: