KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa bertindak lebih tegas dan tidak bekerja secara sambil lewa dalam menangani isu berkaitan laman web perjudian haram di negara ini.

Pihak berkenaan juga perlu mencari jalan dalam membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berkembang hingga menyebabkan peningkatan masalah sosial dalam masyarakat.

Gesaan itu datang daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

“Ia kini seolah-olah tidak boleh dikawal lagi. Semakin ramai ahli masyarakat kita yang terlibat dalam isu judi ini.

“Kami cadang SKMM buat syarat baharu terhadap kawalan bukti transaksi yang ingin dibuat. Apakah ia melibatkan judi dalam talian atau perkara lain yang lebih berfaedah,” kata Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung judi dalam talian di pejabat PPIM di Bukit Keramat, di ibu negara pagi tadi, lapor portal berita Astro AWANI.

PPIM membuat gesaan berkenaan berikutan isu peningkatan jumlah laman web perjudian haram terutama melalui aplikasi sosial seperti WeChat dan BeeTalk.

SKMM sebelum ini dilaporkan sudah melaksanakan sekatan ke atas 301 buah laman web perjudian haram bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sekatan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Tindakan itu adalah sebahagian daripada 940 permohonan untuk menyekat akses perjudian dalam talian yang dikemukakan pelbagai agensi pihak berkuasa seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada 27 Julai lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM juga telah menyekat 325 akses laman web yang menawarkan aktiviti perjudian daripada 538 permohonan yang dibuat Polis, KPDNKK dan JAKIM tahun lepas.

Jailani turut menjelaskan bahawa SKMM hanya boleh membantu dari aspek teknikal seperti menyekat akses manakala tindakan selebihnya berada di bawah bidang kuasa polis dan KPDNKK.