Selasa, 15 September 2015

Sekolah Diarah Tutup Di S'gor, KL, Putrajaya, N.Sembilan & Melaka Pada Selasa

MSTAR ONLINE
 
 
 

PETALING JAYA: Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka diarahkan tutup pada Selasa oleh Kementerian Pelajaran ekoran masalah jerebu yang semakin teruk.
Makluman mengenai bilakah ia akan dibuka semula akan diumumkan kemudian.

"IPU (Indeks Pencemaran Udara) menghampiri 200. Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup esok 15.9.2015,"  demikian menurut kenyataan Kementerian Pelajaran pada lewat Isnin malam.

Sementara itu Timbalan Menteri, P. Kamalanathan mengesahkan yang menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah memaklumkan berhubung keputusan penutupan sekolah-sekolah di kawasan yang terlibat kepadanya pada malam Isnin.

"Kita akan kemaskinikan makluman terbaru berhubung perkara ini kepada pihak pentadbiran sekolah esok (Selasa)," katanya ketika ditanya apakah murid-murid perlu kembali semula ke sekolah pada Khamis.

Rabu adalah hari cuti umum sempena perayaan Hari Malaysia manakala cuti sekolah pendek selama seminggu akan bermula pada Sabtu dan sehari lebih awal di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sebelum ini pada satu majlis di Sintok, Kedah petang tadi, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekolah hanya akan ditutup apabila IPU mencecah 200 dan Kementerian Pendidikan tidak bercadang menurunkannya kepada tahap IPU 150 sebagaimana diminta oleh beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya penetapan tahap IPU pada 200 sebelum sekolah-sekolah ditutup itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar.

Tiada ulasan: