PETALING JAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak boleh terus menjadi Perdana
Menteri tetapi beliau perlu segera berhenti menjadi Menteri Kewangan
bagi memulihkan ekonomi negara ketika ini, kata Setiausaha Agung PKR,
Rafizi Ramli.
Beliau berkata, dengan cara itu sahaja dapat mengembalikan keyakinan pelabur-pelabur asing untuk kembali melabur ke negara ini.
"Keadaan ekonomi hari ini adalah kesan daripada ketiadaan keyakinan pelabur luar terhadap pentadbiran negara.
"Untuk panggil mereka (pelabur) masuk semula, Datuk Seri Najib perlu
berhenti jadi Menteri Kewangan. Dengan tindakan itu sahaja barulah Bursa
Kuala Lumpur ada harapan untuk pulih," katanya kepada pemberita, hari
ini.
Katanya, walaupun nadanya agak berbeza dengan sebelum ini untuk
mendesak Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, adalah kerana
beliau tidak yakin perkara itu akan terjadi.
"Saya rasa hampir mustahil untuk perkara itu jadi realiti. Begitu juga
dengan undi tidak percaya di Parlimen kerana kalau pembangkang sahaja
setuju perkara itu tidak akan terjadi.
"Kita perlukan sekurang - kurangnya 30 Ahli Parlimen daripada BN, dan
saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam tempoh terdekat ini,"
katanya.
Susulan gesaan itu, beliau telah memfailkan satu Rang Undang - Undang
Persendirian bagi memisahkan jawatan Menteri Kewangan dari Perdana
Menteri.
Menurut beliau, bukan sahaja Najib tetapi sesiapa sahaja yang menjadi
Perdana Menteri selepas ini tidak sepatutnya memegang jawatan sebagai
Menteri Kewangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan