Khamis, 17 September 2015

Rafizi fail RUU pemisahan kuasa eksekutif atasi kemelut ekonomi

Oleh Azuan Ab Rahman


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memfailkan Rang Undang-undang (RUU) persendirian di Parlimen bagi mewujudkan suatu Akta untuk menetapkan secara undang-undang pemisahan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Langkah itu sebagai usaha menyelesaikan krisis kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan sebagai punca kepada masalah ekonomi dihadapi negara.

“Remedi sebenar kepada masalah ini adalah menyelesaikan krisis kredibiliti yang terpalit dengan Perdana Menteri.

IMG_6010“Tidak ada tanda bahawa Najib akan letak jawatan, malah saya lihat tidak ada mana-mana parti komponen Barisan Nasional mampu singkir Najib.

“Masalah sentimen yang lemah terhadap saham-saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) tidak akan selesai selagi masalah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan krisis kredibiliti Najib tidak diselesaikan segera. Hanya dengan peletakan jawatan Najib sebagai Menteri Kewangan barulah BSKL ada harapan untuk pulih,” tegas Rafizi pada sidang media di ibu pejabat parti.

Setiausaha Agung KEADILAN itu turut berharap seberapa ramai Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak menyokong RUU dikemukakannya itu.

“Sama ada RUU ini dibahaskan atau tidak ia terpulang kepada Speaker Dewan dan kerajaan. Jika Ahli Parlimen BN serius nak pulihkan ekonomi negara mereka perlu sokong RUU ini.

“Sokongan sangat diperlukan supaya tekanan dapat diberikan supaya RUU ini dibahaskan di dalam Dewan nanti,” jelas Rafizi.

Melalui RUU tersebut, Rafizi mendrafkan supaya Menteri Kewangan perlu melantik Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara selain dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan.
 
Selain itu, seseorang menteri pula hanya dibenarkan menjawat satu jawatan kementerian dalam satu-satu masa.

RUU tersebut difailkan Rafizi susulan kegusaran dana awam akan dibelanjakan ekoran pengumuman terbaru Najib berhubung rancangan kerajaan membelanjakan RM20 bilion bagi membeli saham dalam bursa bagi merangsang pasaran saham melalui sebuah syarikat berkaitan kerajaan, ValueCap Sdn Bhd.

Ekoran itu, beliau mempersoal bagaimana ValueCap menerima dana RM20 bilion itu kerana sehingga kini, rakyat tidak dimaklumkan berkenaan sumber tersebut.

Tiada ulasan: