Rabu, 9 September 2015

PPM sedia bekerjasama dengan Pas

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub


SHAH ALAM - Parti Pekerja Malaysia (PPM) tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Pas untuk menyelamatkan negara daripada kelemahan pentadbiran sedia ada sekaligus menumbangkan kerajaan BN pada PRU14 akan datang.

Timbalan Pengerusinya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya terbuka untuk melakukan rundingan kerjasama itu dengan semua parti pembangkang, NGO dan individu melalui muafakat politik baharu jika wujud keperluan.

“Sebagai sebuah parti politik Islam yang mengangkat nilai inklusif, tentunya PPM terbuka untuk berunding termasuk dengan Pas, atau mana-mana pihak lain, jika wujudnya keperluan itu.

“Jiwa besar kami adalah mahu mengembeling semua pihak, agar negara ini dapat diselamatkan daripada segala kebejatan yang berlaku akibat tindakan rakus dan salah urus kerajaan BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 31 Ogos lalu, gerakan Harapan Baru mengumumkan akan mengambil alih Parti Pekerja Malaysia dan menamakannya semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Pengerusinya, Mohamad Sabu berkata, butiran lanjut akan diumumkan pada pelancaran rasmi pada 16 September ini.

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden Pas itu menegaskan pihaknya tidak akan berganjak daripada perancangan asal untuk melancarkan parti baharu itu pada 16 September ini.

“Kami komited untuk meneruskan kesinambungan perjuangan rakyat bersama semua parti-parti politik pembangkang melalui muafakat politik baru, Pakatan Rakyat 2.0 yang akan diwujudkan nanti, dalam usaha untuk menumbangkan BN.

“Saya ingin menegaskan bahawa pendirian itu tidak pernah berubah sekalipun kami kini bergerak atas nama Parti Amanah Negara (Amanah Negara) yang akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini,” katanya lagi.


Tiada ulasan: