KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan ganjaran wang kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat berhubung insiden memijak gambar pemimpin pada himpunan Bersih 4.0, hujung minggu lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, sebelum ini individu yang terbabit diberi peluang untuk tampil bagi membantu siasatan, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

“Polis memandang berat perbuatan ini kerana telah mewujudkan suasana tegang sehingga menggugat ketenteraman awam di kalangan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit boleh tampil membantu siasatan.

“Polis menawarkan ganjaran kewangan kepada mereka maklumat sehingga tertangkapnya individu terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ganjaran tersebut bergantung kepada tahap maklumat positif yang diterima.

Menurutnya, polis harus mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi memastikan perkara ini tidak mencetuskan tindak balas yang akan menjejaskan keselamatan awam.

Baru-baru ini tersebar gambar dan video yang menunjukkan beberapa individu memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tindakan dua wanita itu dianggap biadap dan orang ramai mahu mereka ditahan untuk siasatan.