Rabu, 9 September 2015

Polis: Morais dipercayai diculik

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais
Anthony Kevin Morais
 
 
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis mengklasifikasikan sebagai kes culik berhubung kehilangan Anthony Kevin Morais, Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan dari Jabatan Peguam Negara, berdasarkan imej dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, rakaman CCTV itu diperoleh di sepanjang jalan dipercayai laluan yang sering digunakan oleh Morais, yang hilang pada Jumaat lepas.
  
"Sekarang ini polis membuat pemeriksaan CCTV termasuk CCTV milik persendirian dan siasat secara menyeluruh.
  
"Polis akan keluarkan 'footage' CCTV apabila tiba masanya dan biar kita teliti dulu rakaman CCTV itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Zainuddin berkata polis patut diberi raung untuk menyiasat kes itu.

Terdahulu, polis turut menafikan laporan kononnya mayat Morais telah dijumpai di Klang, Selangor.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Nafi dakwaan mayat Kevin dijumpai di Klang ]

Ditanya sama ada keluarga atau kawan terdekat Morais ada menerima panggilan atau ugutan daripada penculik, Zainuddin berkata setakat ini tiada apa-apa panggilan telefon diterima oleh mereka.
  
Morais dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya.
  
Beliau juga dilaporkan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.
  
Pada Isnin lalu polis menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat kes itu yang diketuai oleh Zainuddin sendiri. - Bernama

Tiada ulasan: