BERNAMA
Perhimpunan Baju Merah
atau Himpunan Rakyat Bersatu yang dijadual diadakan pada 16 September
ini, sempena Hari Malaysia membuatkan kumpulan peniaga di Petaling
Street bercadang menutup operasi perniagaan mereka selama sehari. Foto
hiasan TRP
KUALA LUMPUR, Sebanyak 773 penjaja dan 500 pekedai di Petaling Street bersetuju untuk menghentikan perniagaan selama sehari pada 16
September ini bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini ekoran Himpunan Rakyat Bersatu yang dikatakan bakal diadakan di kawasan itu.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga
Kecil Kuala Lumpur Datuk Ang Say Tee Jp berkata keputusan itu dilakukan
selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) pada 5 September lepas.
“Sebanyak 90 peratus peniaga di sini
telah mengambil keputusan untuk menutup perniagaan pada hari berkenaan
bagi memastikan keselamatan mereka terjamin selain mengelakkan sebarang
perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada
pemberita pada program ‘walkabout’ anjuran NGO bersama ketua komuniti dan peniaga di Petaling Street, hari ini.
Beliau juga berharap pihak penganjur
membatalkan perhimpunan berkenaan kerana banyak perniagaan di kawasan
terlibat akan terjejas kerana terpaksa ditutup sepanjang hari.
Beliau berkata perhimpunan yang bercorak
perkauman itu tidak bersesuaian dengan Hari Malaysia yang sepatutnya
disambut dengan penuh semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat
majmuk.
Lebih 50 wakil daripada 20 NGO menyertai
program berkenaan untuk beramah mesra dengan peniaga serta penduduk di
kawasan terbabit.
Program tersebut turut dihadiri Presiden
Pro-Rakyat Khairul Anwar Othman, anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui
Lun dan beberapa NGO seperti Otai Reformis, Persatuan Ummah Sejahtera
Malaysia (PasMa), Jingga 13, dan Pertubuhan Prihatin Selangor.
Khairul berkata, 2,000 anggotanya
bersama-sama 500 anggota Otai Reformis akan ‘berkampung’ di sekitar
kawasan antara lain Petaling Street dan Bukit Bintang dari pagi sehingga
12 tengah malam pada hari berkenaan.
“Kami sebagai orang Islam, juga orang
Melayu dan rakyat Malaysia, ingin beri jaminan kami takkan biarkan
rakyat Malaysia tidak kira bangsa diapa-apakan,” katanya.
Perhimpunan Rakyat Bersatu atau lebih
dikenali sebagai Perhimpunan Baju Merah dirancang diadakan pada 16
September ini di ibu negara.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan
Malaysia (Pesaka) Tan Sri Mohd Ali Rustam selaku penganjur perhimpunan,
dalam sidang medianya semalam menegaskan pihaknya akan mengadakan
perhimpunan di Padang Merbok sekiranya dibenarkan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur dan bukan di Bukit Bintang atau di Petaling Street.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan