Selasa, 8 September 2015

Penumpang pertikai tahap keselamatan MAS

Chin Xin Ci terkejut apabila MAS mengeluarkan pas masuk kepada orang lain yang menggunakan namanya untuk penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur baru-baru ini.


MAS


PETALING JAYA: Seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) mempertikaikan tahap keselamatan syarikat penerbangan kebangsaan yang didakwanya tidak cekap.

Chin Xin Ci, berkata dia kesal dengan MAS selepas mengalami kejadian apabila tempat duduknya di dalam pesawat MH1433 dari Langkawi ke Kuala Lumpur baru-baru ini diambil oleh orang lain yang tidak dikenali.

Menulis di laman Facebook, Xin Ci berkata, dia berasa hairan bagaimana pihak MAS boleh mengeluarkan pas masuk ke dalam pesawat kepada individu yang menyamar sebagai dirinya.

“Saya lihat ada orang duduk di tempat duduk saya semasa di dalam pesawat. Saya memberitahu yang tempat duduk itu adalah tempat saya tetapi bayangkan betapa terkejutnya saya apabila dia mengeluarkan pas berlepas yang tertulis nama saya dan nombor penerbangan yang sama,” katanya.

Xin Ci mendakwa, kerana sebab tertentu, kakitangan MAS di terminal telah mencetak pas pelepasan atas namanya untuk orang lain.

Memburukkan lagi keadaan apabila kakitangan MAS enggan mengusir penumpang terbabit sebaliknya meminta Xin Ci duduk di tempat lain iaitu selang tiga baris di belakang tempat sepatutnya, katanya.

Dia meluahkan rasa kecewanya atas kesilapan itu dan kegagalan sepenuhnya pemeriksaan keselamatan di pintu masuk.

“Ini ialah perkara besar. Bayangkan risiko keselamatan sekiranya orang boleh memasuki pesawat dengan pas pelepasan orang lain.

“Apa jadi sekiranya orang itu adalah penjenayah dan berjaya menggunakan identiti saya untuk menaiki penerbangan itu. Tidakkah kita belajar apa-apa daripada MH370?” katanya.

Menerusi ruangan komen pada status Xin Ci, pihak pengurusan MAS membalas dakwaan itu dan berjanji akan menyiasat kejadian berkenaan.

Tiada ulasan: