Sabtu, 19 September 2015

Penganjur nafi Najib beri cek RM3 juta

SINAR HARIAN


Najib Razak
Najib Razak - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos menyangkal dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan cek berjumlah RM3 juta bagi penganjuran 'himpunan rakyat bersatu'.

Jamal menegaskan penganjur himpunan rakyat bersatu yang diadakan di ibu negara semalam tidak menerima sebarang peruntukan daripada Perdana Menteri mahupun kerajaan.

"Saya ingin nafikan kenyataan dan berita ini. Saya ingin menegaskan himpunan rakyat bersatu tidak ada kaitan dengan Najib dan tidak menerima sebarang peruntukan daripada beliau mahupun kerajaan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Jamal berkata, dakwaan itu adalah satu fitnah dan merupakan berita yang tidak berasas yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Berlangsung di Padang Merbok di ibu negara semalam, himpunan yang diterajui Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) itu dianjurkan sebagai tindak balas membantah perhimpunan Bersih 4 di kawasan sekitar Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas. - Bernama


Tiada ulasan: