Khamis, 10 September 2015

Penganjur Baju Merah jamin tiada pergaduhan tetapi mahu DAP jangan biadap

 
Perhimpunan Bersih 4.0 yang dicemari perlakuan biadap peserta telah membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu.


Jamal-Md-Yunos


KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Baju Merah memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang pergaduhan sepanjang perhimpunan itu berlangsung pada 16 September ini.

Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos berkata, perhimpunan itu tidak melibatkan unsur-unsur keganasan kerana ia hanya perhimpunan perpaduan Melayu.

“Ini bukan perhimpunan untuk melakukan jenayah, ini perhimpunan perpaduan untuk orang Melayu,” katanya dalam sidang media di Kampung Baru pada Khamis.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu menjelaskan, himpunan Baju Merah diadakan susulan Bersih 4.0 yang beliau dakwa telah membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada penganjur Bersih 4.0 yang telah diharamkan oleh kerajaan.

“Dengan adanya perhimpunan lepas, menyebabkan kami NGO Melayu dan orang Melayu bersatu hati, kerana melihat kebiadapan peserta Bersih 4.0 dengan slogan yang menghina Melayu dan pemimpin Melayu,” tegasnya.

Jamal mengingatkan pemimpin dan penyokong DAP tidak bersikap kurang ajar sebaliknya perlu menghormati pemimpin negara yang kebanyakkannya orang Melayu.

“Mereka yang hadir Bersih 4.0 dijajah pemikiran oleh DAP. Bahkan, kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan melepaskan tidak puas hatinya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Himpunan Baju Merah atau Maruah Melayu merupakan sebuah perhimpunan yang diketuai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan 250 NGO lain, dan dijangka seramai 30,000 peserta akan hadir dalam himpunan itu.

Ia bakal dianjurkan pada 16 September ini dan peserta-peserta yang hadir diminta berkumpul di Bukit Bintang pada jam 11 pagi kemudiannya berarak ke Padang Merbok.

Peserta juga diminta untuk memakai pakaian berwarna merah bagi menunjukkan semangat bangsa Melayu.

Tiada ulasan: