SEBERANG PERAI: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan melaksanakan sistem
kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di lima plaza tol
miliknya mulai 12 tengah hari pada Rabu.
Pengurus Besar Operasi PLUS, Norbayati Manap berkata, lima plaza tol
itu ialah di Jambatan Pulau Pinang, Kubang Semang dan Lunas di Pulau
Pinang serta Jitra dan Bukit Kayu Hitam di Kedah.
Beliau berkata, tujuan pelaksanaan ETC adalah untuk mengurangkan
kesesakan di plaza tol kerana kutipan secara elektronik mampu
menjimatkan masa.
"Mulai 12 tengah hari esok (Rabu), kami tidak akan menerima pembayaran
wang tunai di kelima-lima plaza tol berkenaan dan kami akan sediakan
lorong 24 jam untuk pembelian kad Touch 'n Go," katanya kepada pemberita
selepas melawat persiapan ETC di Jambatan Pulau Pinang pada Selasa.
Beliau berkata, hasil pemantauan PLUS mendapati pengguna ETC Jambatan
Pulau Pinang telah mencapai 82,000 pengguna sehari, tol Kubang Semang
40,000, tol Lunas 34,000, tol Jitra 22,000 dan tol Bukit Kayu Hitam
3,000.
"InsyaAllah dengan persiapan yang telah dijalankan, kita akan mampu
mengendalikan jumlah trafik di kelima-lima plaza tol itu esok," katanya.
Beliau berkata, PLUS akan menyediakan kakitangan yang akan dibantu
anggota Rela untuk menguruskan aliran trafik sekiranya pelaksanaan hari
pertama pada Rabu menyebabkan kesesakan.
Norbayati berkata, pemantauan PLUS mendapati masih terdapat lebih kurang 20,000 pengguna lebuh raya yang membayar secara tunai.
"Setakat hari ini, peratusan jualan kami adalah menggalakkan di mana
kami menawarkan 20 peratus rebat kepada pembeli kad Touch 'n Go baru
yang melalui kelima-lima plaza tol tersebut sehingga 31 Disember ini,"
katanya.
Beliau berkata sejak Julai lepas, PLUS telah berjaya menjual lebih
150,000 kad Touch'n Go dan menjangkakan jualan itu akan meningkat lagi
selepas pelaksanaan ETC nanti. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan