Khamis, 3 September 2015

Pas kekal dalam kerajaan Negeri Selangor

 
Pas Selangor menafikan spekulasi bahawa parti Islam itu akan disingkirkan daripada kerajaan negeri apabila Pakatan Rakyat 2.0 ditubuhkan


Khairuddin-Othman_pas_selangor_600


PETALING JAYA: Pas Selangor yakin kedudukan parti itu dalam kerajaan negeri tidak akan terjejas walaupun dua Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman menafikan spekulasi bahawa parti Islam itu akan disingkirkan daripada kerajaan negeri apabila Pakatan Rakyat 2.0 ditubuhkan.

“Kita masih dalam kerajaan dan berubahnya dua wakil rakyat kita itu (ADUN Hulu Kelang dan ADUN Morib) tidak menjejaskan pentadbiran parti.

“Malah penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 hanyalah khabar angin dan belum berlaku lagi, kalau berlaku kita akan membuat pendirian pada waktu itu.

“Saya sangat yakin kedudukan Pas Selangor akan kekal dalam kerajaan dan semua EXCO (Ahli Majlis Kerajaan Negeri) kita masih bergerak seperti biasa,” katanya ketika dihubungi FMT.

ADUN Paya Jaras itu menambah, tidak ada pihak yang boleh menendang ADUN Pas daripada EXCO kerajaan Selangor selain Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“EXCO (Pas) tidak boleh diberhentikan kecuali Menteri Besar memberhentikan EXCO. DAP tidak boleh berhentikan EXCO kita, hanya Menteri Besar sahaja boleh keluarkan EXCO daripada kerajaan dengan perkenan daripada Tuanku Sultan Selangor,” katanya.

Tiada ulasan: