SHAH ALAM: Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti
itu kini tidak lagi akan menentang pemimpinnya yang lompat parti selagi
parti itu mempunyai jalinan kerjasama dengan PAS.
Justeru, beliau berkata PAS akur dengan tindakan Datuk Kamaruddin
Jaafar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai PKR kerana mereka masih
berada di 'padang' politik yang sama.
"Saya rasa (mereka) kini bermain atas padang yang sama sekarang, Kalau
dulu kita mungkin agak keberatan ambil wakil rakyat yang lain, suasana
sudah berubah, wakil rakyat PAS boleh pergi ke parti-parti lain yang
punyai hubungan dengan PAS, " kata beliau.
Kamaruddin adalah Ahli Parlimen Tumpat yang menyertai PAS pada tahun
2008 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim di pecat daripada Umno dan
kerajaan. Muhammad adalah mantan Menteri Besar Selangor yang menyertai
PAS sebelum pilihan raya umum ke 13.
Kedua-dua mereka lompat daripada PAS secara rasmi semalam untuk
menyertai PKR di bawah pimpinan Anwar, walaupun sebelum ini dijangka
menyertai Parti Amanah Negara.
Amanah diterajui oleh bekas pemimpin PAS yang tidak sehaluan dengan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Meskpun sudah memutuskan hubungan dengan DAP, PAS terus menjalin
hubungan dengan PKR menerusi kerajaan negeri Selangor pimpinan Mohamad
Azmin Ali manakala PKR juga memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan
PAS di Kelantan.
Azmin, selaku Timbalan Presiden PKR, juga menegaskan keperluan DAP
menerima PAS dalam pembentukan sebarang gagasan pembangkang baru bagi
menghadapi pilihan raya umum ke 14.
Takiyuddin berkata beliau bersetuju dengan Naib Presiden PAS Iskandar
Samad bahawa lebih baik bekas ahli PAS menyertai PKR dan bukan Amanah,
namun tetap "bersedih" kerana wakil rakyat PAS semakin berkurangan.
"Saya boleh bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden tapi apapun, parti
mana pun mereka sertai, pokoknya mereka keluar daripada PAS. Ini satu
peristiwa yang kita tidak suka tapi kena terima kenyataan. Boleh jadi
betul apa yang dikatakan itu, sebab PKR masih ada hubungan dengan
kita," kata Takiyuddin.
"Tapi mereka memang keluar daripada PAS (maka) bilangan ahli Parlimen PAS di Parlimen berkurangan," kata beliau.
Setakat ini 13 Ahli Parlimen dan ADUN PAS menzahirkan hasrat keluar
daripada PAS setelah hilang keyakinan terhadap presiden parti Datuk Seri
Abdul Hadi Awang.
Hanya Kamaruddin dan Muhammad menyertai PKR manakala selebihnya akan
menerajui Amanah yang akan dilancarkan pada 16 September depan.
Bagaimanapun Pendaftar Pertubuhan masih belum memberi keluluasan untuk parti itu didaftarkan.
Takiyuddin berkata PAS berharap dengan perkembangan baru yang sedang
berlaku, pihak berkenaan akan tu akur dengan hak PAS untuk menerima
mana-mana pemimpin daripada parti lain.
"Maka saya rasa untuk berlaku adil kepada PAS, kami boleh menerima
menerima mana-mana wakil parti (lain) untuk sertai PAS", kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan