Khamis, 3 September 2015

Parti Pekerja tidak boleh dijenamakan sebagai Amanah, kata Nur Jazlan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Pekerja Malaysia tidak boleh dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata oleh itu, Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi perlembagaan parti pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
"Sekarang ini mereka tiada rumah (parti). Ingin pakai rumah orang lain. Parti pekerja bukan parti politik. Kalau mereka ingin teruskan (jenamakan semula Parti Pekerja dan) pakai nama Amanah, mereka kena ubah (pinda) perlembagaan Parti Pekerja.
 
"Mereka juga kena ubah sistem pentadbiran Parti Pekerja dan tunjukkan terlebih dulu kerja pentadbiran untuk membuktikan mereka mewakili sebuah parti politik dan bukannya parti pekerja," katanya.
 
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi GHB Mohamad Sabu pada Isnin lepas yang mengumumkan akan menukarkan nama Parti Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Parti
Amanah Negara (Amanah) sebagai nama rasmi wadah politik gerakan itu.
 
Bekas timbalan presiden PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata GHB mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia, dan butiran mengenai penjenamaan semula itu akan diserah kepada RoS secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.
 
Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai berkata Amanah juga perlu melalui proses lantikan dalaman seperti keahlian, pengisian jawatan, dan sekurang-kurangnya perlu mengadakan mesyuarat parti.
 
Beliau berkata setelah selesai proses tersebut, barulah Amanah boleh mendaftar diri ke RoS untuk kelulusan dan sebarang tindakan lanjut.
 
Sehingga kini, Nur Jazlan berkata RoS belum menerima permohonan pendaftaran parti Amanah tersebut.
 
Sebelum ini, GHB mengemukakan untuk mewujudkan parti politik baharu dengan menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI), bagaimanapun RoS menolak permohonan itu.
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri, sebelum ini dilaporkan berkata permohonan itu ditolak kerana Islam hak untuk semua orang yang beragama Islam dan penggunaan nama Islam pada parti politik boleh menyebabkan kekeliruan. 


Tiada ulasan: