Selasa, 22 September 2015

PAC negeri 'bersih rasuah' digesa siasat projek Dabong

MALAYSIAKINI


 


Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negeri Kelantan (PAC) digesa menyiasat projek Bandar Baru Dabong yang didakwa terbengkalai dan didedahkan akhbar baru-baru ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hasanuddin Mohd Yunus berkata walaupun tidak berminat mencampuri urusan Kelantan, pendedahan itu mengundang tanggapan tidak baik di kalangan masyarakat terhadap kerajaan negeri.

Beliau mengingatkan bahawa masyarakat umum maklum bahawa kerajaan Kelantan antara negeri yang 'bersih rasuah' sepanjang pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.

“Sekalipun pelbagai perancangan jahat cuba dibuat oleh pihak tertentu untuk memburuk-burukkan pentadbiran Tok Guru (Nik Aziz) sepanjang pimpinannya, namun ia ternyata gagal.

“Oleh itu, demi menjaga nama baik dan atas kepentingan rakyat Kelantan keseluruhannya, AMANAH merasakan PAC Kelantan perlu segera membuat siasatan,” katanya.

Fokus Sinar Harian pada 18 September lalu melaporkan projek RM40 juta bandar Baru Dabong di Kampung Stong, Kuala Krai terbengkalai, setelah dilancarkan tiga tahun lalu oleh allahyarham Nik Abdul Aziz.

Hasanuddin berkata, projek itu sepatutnya menyiapkan 48 unit rumah teres kos sederhana rendah, 196 unit rumah teres kos sederhana, 56 unit rumah berkembar, 106 unit banglo dan 20 unit rumah kedai.

AMANAH juga membangkitkan dakwaan kegagalan mengutip RM50 juta untuk dana rumah mampu milik rakyat Kelantan dan kemerosotan keuntungan syarikat yang diamanahkan untuk menjananya.


Tiada ulasan: