TAWAU, Seorang nelayan terpaksa berpaut pada dua biji tong selama lapan jam untuk menyelamatkan diri selepas bot yang dinaikinya tenggelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, malam tadi.


Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan Upal Kadik, 30-an, pada jam 6.42 pagi tadi ketika melakukan rondaan di kawasan itu.

“Difahamkan, mangsa keluar menangkap ikan sekitar jam 10 malam semalam apabila bot yang dinaikinya rosak dan terbalik.

“Mangsa bagaimanapun sempat berpaut pada dua biji tong dan terapung sehingga dia ditemui,” kata Ketua APMM Tawau, Kapten Anor Jaafar dalam satu kenyataan hari ini.

Anor berkata, mangsa ditemui dalam keadaan kepenatan dan lemah serta dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan sebelum diserahkan kepada pasukan siasatan agensi.

Dalam masa yang sama, dia turut menggesa sesiapa sahaja yang berdepan dengan kecemasan agar menghubungi talian kecemasan 999 atau pejabat mereka di talian 089-752115.