Rabu, 2 September 2015

Najib mahu beli kapal perang RM3 bilion ketika ekonomi merudum

Oleh: Nadia Hanafi


PETALING JAYA- KEADILAN meminta kerajaan membatalkan hasrat membeli kapal perang pengangkut helikopter daripada Perancis seperti dilapor majalah The International Business Times bertarikh 26 Ogos lalu.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, akhbar antarabangsa turut melaporkan Menteri pertahanan Perancis, Jean Yves zle Drian bakal mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rafizi PKR“Berita-berita ini padan dengan desas-desus bahawa lawatan menteri pertahanan Perancis itu adalah untuk merundingkan penjualan sebuah kapal perang kelas mistral kepada kerajaan Malaysia.

“Kini, pentadbiran beliau dilaporkan ingin membeli sebuah kapal perang yang dibina untuk negara lain semasa ekonomi negara merudum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini.

Menurutnya, kapal yang dinamakan Sevastopol dan Vladivostok itu sepatutnya diserahkan kepada kerajaan Rusia pada tahun 2014 dan 2016.

Namun, katanya, ia tergendala apabila kerajaan Perancis membatalkan kontrak penjualan itu ekoran rekod buruk hak asasi manusia kerajaan Rusia.

Rafizi juga berkata, kapal perang mistral itu dianggar berharga sekitar USD600 juta pada 2012 dan sekarang mencecah RM2.6 bilion dengan mengambil kira kadar harga dan matawang terkini.

“Mengambil kira kontrak penyenggaraan dan bantuan teknikal yang selalunya bernilai ratusan juta, saya menganggarkan pembelian ini boleh memakan RM3 bilion dana rakyat.

“Ini tidak termasuk pembelian helikopter yang diperlukan sebagai melengkapkan kapal perang mistral ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan berniat membeli sebuah kapal perang yang direka untuk armada laut Rusia di mana strategi persenjataan begitu berlainan daripada Malaysia.

“Bukankah lebih baik sebarang tempahan kapal baru mesti mengikut strategi jangka panjang tentera Malaysia?,” ujarnya.

Justeru itu, Rafizi menyeru Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan menjawab persoalan mengenai pembelian itu dalam sesi parlimen Oktober ini.

“Berapakah kos keseluruhan pembelian kapal ini termasuk pembelian helikopter dan kontrak-kontrak bantuan teknikal? Jumlah ini perlu dibentangkan kepada rakyat sebelum sebarang kuputusan dibuat,” tegasnya.

Tiada ulasan: