Jumaat, 11 September 2015

Morais diculik, berdasarkan rakaman CCTV, kata polis

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR:  Polis mengklasifikasikan sebagai kes culik berhubung kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan dari Jabatan Peguam Negara  Anthony Kevin Morais berdasarkan imej dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata rakaman CCTV itu diperoleh di sepanjang jalan dipercayai laluan yang sering digunakan Morais, yang hilang pada Jumaat lepas.
 
"Sekarang ini polis membuat pemeriksaan CCTV termasuk CCTV milik persendirian dan siasat secara menyeluruh.
 
"Polis akan keluarkan 'footage' CCTV apabila tiba masanya dan biar kita teliti dulu rakaman CCTV itu," katanya.
 
Zainuddin berkata polis patut diberi ruang untuk menyiasat kes itu.
 
Ditanya sama ada keluarga atau kawan terdekat Morais ada menerima panggilan atau ugutan daripada penculik, Zainuddin berkata setakat ini tiada apa-apa panggilan telefon diterima mereka.
 
Morais dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya.
 
Beliau juga dilaporkan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.
 
Pada Isnin lalu polis menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat kes itu yang diketuai Zainuddin sendiri.

Tiada ulasan: