Rabu, 23 September 2015

Minta wartawan ‘google’ sumber kekayaaan anak Tun M

 
NGO mendakwa kemampuan anak-anak Dr Mahathir memperoleh modal perniagaan ketika bapanya menjadi Perdana Menteri amat mencurigakan dan pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan.


leesang,mokhzani,mirzan


KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumber kekayaan anak-anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Datuk Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Pertubuhan Penyokong Barisan Nasional Malaysia (PPBNM) membuat desakan itu kerana curiga kekayaan luar biasa mereka yang dipercayai diperolehi melalui salah guna kuasa sewaktu Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Presiden PPBNM, Dr Lee Nan Sang berkata, sumber modal yang diperolehi anak-anak Dr Mahathir untuk memulakan perniagaan juga amat mencurigakan.

Namun begitu, apabila ditanya wartawan adakah dia mempunyai bukti untuk mengukuhkan dakwaan kekayaan yang dimiliki anak-anak Dr Mahathir, Lee berkata,

“Saya tidak membawa sebarang dokumen atau bukti, tapi kamu (pemberita) boleh mencarinya di ‘Google’,” katanya.

Lee mempersoalkan bagaimana anak-anak Dr Mahathir memperoleh modal dalam jangka masa yang singkat untuk menjalankan perniagaan besar yang bernilai berbillion Ringgit.

“Adakah ia dilakukan ketika Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri?” soalnya dalam satu sidang media di pejabat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pada Rabu.

Mengulas lanjut, Lee turut mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak berdiam diri dalam isu kekayaan anak-anak Dr Mahathir malah satu siasatan dijalankan untuk mengupas kebenaran jika Dr Mahathir pernah mengarahkan syarikat GLC gergasi memberikan kontrak perniagaan kepada anak-anaknya.

Tiada ulasan: