Khamis, 17 September 2015

Merah atau kuning, jangan sampai terlampau

himpunan


SHAH ALAM – Mana-mana kumpulan baik daripada warna merah mahupun kuning boleh bangkit memperjuangkan apa yang mereka mahukan namun jangan sampai melebihi batas terutama sekali undang-undang.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berkata, kedua-duanya perlu mengelak daripada memainkan isu-isu sensitif termasuk memijak gambar pemimpin.

“Apa yang diperjuangkan golongan baju merah ini untuk menegaskan lagi betapa peri pentingnya untuk kita berpegang kepada isu-isu kemelayuan, ketuanan dan sebagainya. Yang memperjuangkan hak-hak Islam, Melayu pergi ke baju merah manakala yang memperjuangkan perkara lain, pergi ke baju kuning.

“Saya kira apa yang perlu dilakukan kedua-dua kumpulan ini adalah supaya mereka tidak melebihi batas dan lunas-lunas undang-undang. Contohnya, isu-isu sensitif jangan dimainkan, jangan ada aktiviti memijak gambar-gambar pemimpin dan kurangkan intonasi yang bersifat sensitif.

[ARTIKEL BERKAITAN: Baju Merah: Bukan perhimpunan Umno]

“Fokuskan lebih kepada membina kekuatan negara, membina persahabatan dan sebagainya. Saya rasa itu akan lebih bermanfaat pada masa depan. Jika aktiviti seperti ini berlaku lebih kerap lagi, ia mungkin boleh membawa kepada satu situasi yang disebut tadi (tentang jurang antara kaum),” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal matlamat yang diperjuangkan himpunan 'baju merah' yang berlangsung semalam di ibu kota.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa himpunan 'baju merah' dan Bersih 4.0 tidak dapat dinafikan mendapat bantuan serta sokongan parti-parti politik namun ia tidak menjadi masalah selagi ia tidak melanggar undang-undang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Biar rakyat jadi hakim tiga himpunan]

“Secara faktanya, kedua-dua kumpulan ini memang mendapat bantuan dan sokongan daripada parti-parti politik. Ini adalah satu fakta yang kita tak boleh ketepikan, tak boleh nafikan. Jika kita lihat yang memperjuangkan baju kuning ini NGO-NGO yang lebih cenderung kepada pembangkang.

“Malah pemimpin-pemimpin pembangkang juga ada bersama mereka. pada masa sama, yang baju merah juga mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak yang dilihat pro kerajaan. Saya rasa itu tidak menjadi masalah selagi mana semua perkara itu dijalankan dalam batas undang-undang,” katanya.

Tambahnya, “yang penting, pada akhirnya, kedua-dua golongan ini bertujuan untuk membina negara yang lebih berjaya dan bersatu.”


Tiada ulasan: