Sabtu, 12 September 2015

Mengapa dokumentari Altantuya sensitif?'


Lim Kit Siang
Lim Kit Siang


SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menimbulkan persoalan mengenai tindakan Malaysia terhadap laporan stesen televisyen Al Jazeera berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Kit Siang berkata, wartawan dari Al Jazeera, Marry Ann Jolley yang membuat liputan berkaitan dokumentari bertajuk 101 East di Malaysia telah diarahkan pulang.

“Mengapa kes pembunuhan Altantuya yang dilaporkan sensitif dan wartawan Al Jazeera itu terpaksa dihantar pulang ketika melakukan penyiasatan pembunuhan kejam itu?.

“Adakah laporan berkaitan pembunuhan Altantuya oleh wartawan, media massa dan media cetak tempatan mahupun luar negara tidak dibenarkan sama sekali?” soal Kit Siang dalam satu kenyataan menerusi blognya, semalam.

Beliau turut mengkritik kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri selepas Al Jazeera menyiarkan laporan mereka berkaitan pembunuhan Altantuya.

“Sebagai tindak balas terhadap laporan Al Jazeera semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah bertemu dan tidak pernah mempunyai sebarang hubungan  dengan Altantuya.

“Memandangkan Najib menafikan sekeras-kerasnya pernah bertemu dengan Altantuya, kenyataan beliau sepatutnya membuktikan laporan daripada Al Jazeera dan Suruhanjaya Diraja tidak benar,” katanya.

Menurut Kit Siang, laporan yang dilakukan oleh Al Jazeera telah menghasilkan bukti yang boleh membawa kepada motif pembunuhan kejam Altantuya sekali gus membawa kepada dalang terhadap pembunuhan tersebut.

“Adakah siasatan semula akan dibuka pihak polis untuk menyelidik motif sebenar dalang pembunuhan Altantuya?,” katanya.


Tiada ulasan: