KUALA LUMPUR, Dia memimpin negara lebih daripada 20 tahun, dikenali sebagai seorang daripada pemimpin yang lantang bersuara dan akhir-akhir ini mendapat perhatian kerana tindakan berterusan yang dilihat menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Namun, dalam satu rakaman video yang dikongsikan netizen Rizal Mohd Paudzi, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad is dilihat memegang mikrofon dalam tindakan yang sama sekali berbeza berbanding memberi ucapan yang sebelum ini biasa dilakukan.

Berdiri di sebelah penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza, Dr Mahathir dilihat mendendangkan lagu popular klasik, My Wat dalam satu acara yang diadakan di Dewan Perdana Felda pada 11 September lalu.

Acara itu, menurut Rizal yang memuat naik rakaman video berkenaan dalam akaun YouTube miliknya dikenali sebagai  ‘Malam Sahoca 2015′.

Sahoca adalah singkatan bagi Sultan Abdul Hamid Old Collegians Associations, iaitu persatuan alumni bagi pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah.

Laman blog Rotikaya turut berkongsi video berkenaan dengan kebanyakan komen yang diperolehi, memuji kemahiran menyanyi mantan Perdana Menteri itu.

Menyanyi bukan satu-satunya kemahiran seni yang ditunjukkan Dr Mahathir, apabila baru-baru ini turut mempamerkan bakat lakonan apabila muncul dalam babak kecil filem ‘Kapsul’ yang akan ditayangkan pada 17 September ini.