Jumaat, 4 September 2015

Lelaki mati ditembak anggota polis yang cuba pertahankan diri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
JOHOR BAHARU: Seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah seorang suspek lelaki untuk mempertahankan diri selepas lelaki itu mengeluarkan pisau, menyebabkan suspek rebah dan maut dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Taman Universiti, di sini Jumaat.
 
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, tiga anggota polis sedang melakukan rondaan di hadapan bank berkenaan sebelum ternampak sepasang kekasih duduk di atas sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Supt Beh Eng Lai berkata apabila didekati, suspek lelaki bertindak mencampak motosikalnya dan melarikan diri ke sebuah lorong belakang di bank itu.
 
Dia kemudian dikejar dua anggota polis dan berlaku pergelutan antara mereka.
 
Sewaktu berjaya menerkam seorang daripada anggota polis itu, suspek mengeluarkan sebilah pisau untuk menikam anggota itu, menyebabkan anggota tersebut terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahagian pinggang suspek.
 
Tembakan itu menyebabkan suspek rebah dan mati di tempat kejadian, kata Beh Eng dalam kenyataan di sini Jumaat.
 
"Si mati dikenali sebagai Muhammad Aznil Abd Puad, 22, dan didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.
 
Beh Eng berkata, teman wanita suspek berusia 26 tahun yang turut didapati positif syabu dan heroin, berjaya ditahan seorang lagi anggota polis lain di hadapan bank berkenaan.
 
Polis turut merampas sejumlah barangan termaasuk beberapa bungkus dadah dipercayai syabu dan erimen 5 (ekstasi) daripada kedua-dua suspek.
 
Mayat suspek dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.
 
 

Tiada ulasan: