Isnin, 21 September 2015

Konsensus BN boleh rosak kerana tindakan individu

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Bernama


SHAH ALAM – Konsensus parti komponen dalam BN sejak sekian lama boleh terjejas kerana tindakan seorang individu yang tidak bertanggungjawab memutuskan hubungan dengan pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa mengikut saluran parti.

Demikian kata Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sambil menegaskan pendirian Pemuda MCA Pasir Gudang itu bertentangan dengan prinsip kerjasama dan setiakawan dalam BN.

“Ini merupakan langkah kebudak-budakan, mendahului parti dan dikhuatiri berniat jahat ke atas kepimpinan negara dalam keadaan serta cabaran geopolitik yang sedang kita lalui.

“Perkongsian kuasa di antara kaum telah kita amalkan dengan jayanya selama ini. Kerjasama ini boleh rosak dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab seperti Pemuda MCA Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang itu yang memutuskan hubungan dengan Najib susulan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu kerana ia didakwa telah menghancurkan keharmonian kaum.

Dengan tindakan tersebut, semua anggota Pemuda MCA bahagian itu tidak akan menghadiri majlis Najib atau menyokong beliau dalam apa cara sekalipun.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin juga berkata, Chow Hui tidak seharusnya menyerang kepimpinan tertinggi BN ketika sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan BN semakin merosot.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda MCA Malaysia segera membuat siasatan dalam ke atas pendirian Pemuda MCA Pasir Gudang itu atau keluar dari BN.

“Kalau Pemuda MCA Pasir Gudang tetap mahu putuskan hubungan dengan pemimpin utama BN, lebih baik mereka keluar sahaja dari BN,” katanya lagi.


Tiada ulasan: