Selasa, 22 September 2015

Khairuddin nasihat Khalid takut kepada Allah bukan manusia

 
Isu MDB merupakan permainan wayang kulit yang dimainkan untuk menutup bangkai gajah yang berbau busuk


khalid,khairuddin


PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak supaya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan secara telus dalam menyiasat isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, tindakan polis menangkapnya dengan alasan ‘tidak memberikan ruang untuk pihak polis menjalankan tugas menyiasat isu 1MDB’ jelas hanyalah wayang.

“Jelas di kaca mata rakyat ini merupakan permainan wayang kulit yang dimainkan untuk menutup bangkai gajah yang berbau busuk,” tegasnya.

Dalam kenyataannya, Khairuddin menjelaskan bahawa laporan awal mengenai syarikat 1MDB itu telah dibuat di dalam negara, tetapi Khalid dalam satu kenyataan bertarikh 18 Ogos menyatakan tiada sebarang laporan dibuat terhadap 1MDB.

“Terbaru Khalid menyatakan penangkapannya adalah disebabkan saya tidak memberi ruang kepada PDRM menyiasat lebih lanjut dengan membuat laporan polis di luar negara dan perbuatan ini dianggap hendak “mensabotaj” negara,” katanya lagi.

Dengan ‘wayang’ yang dimainkan oleh Khalid itu, Khairuddin menasihatkan beliau agar takut kepada Allah Yang Maha Esa bukannya takut kepada kuasa manusia di sekelilingnya.

“Janganlah kita menzalimi kerana takut dizalimi. Takutlah hanya pada Yang Maha Esa dan bukan pada manusia.

“Mudah mudahan Allah S.W.T melemparkan hidayah ke dalam sanubari Tan Sri Khalid Abu Bakar agar jujur dan amanah dalam menjalankan tugas,” nasihatnya.

Sebelum ini, Khalid menyifatkan sekatan terhadap Khairuddin itu dilakukan bagi menggelak imej dan kredibiliti penguatkuasa tempatan tercalar.

Selain itu, tindakan Khairuddin didakwa satu sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara ini.

Khairudiddin ditahan reman selama enam hari bermula Sabtu lalu dan disiasat mengikut Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan kerana didakwa cuba menggulingkan kerajaan.

Tiada ulasan: