KUALA LUMPUR, Jabatan Peguam Negara menolak permohonan seorang penganggur untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya kerana mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, kira-kira jam 4.47 petang pada 11 Julai lalu.

Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, yang didakwa kerana mencuri telefon bimbit Lenovo di Techasia Boutique di Plaza Low Yat Plaza, sebelum ini mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam melalui peguamnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pada 26 Ogos.

Apabila kes itu disebut hari ini di hadapan Majistret Nur Aminatul Madiah Md Nor, mahkamah diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara menolak permintaan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, SS Nalini Anne tidak memberi apa-apa alasan bagi penolakan permintaan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 November dan 1 Disember ini untuk perbicaraan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pergaduhan kemudiannya tercetus di Plaza Low Yat pada 11 Julai yang menyebabkan seramai 18 individu ditahan untuk membantu siasatan polis.

Susulan insiden itu, tiga penjual telefon bimbit didenda RM1,800 setiap seorang oleh mahkamah majistret, kerana mencederakan Shahrul Anuar dan Mohamad Khairul.

Low Leong Seng, 29, Eric Chan Weng, 23, dan Soo Weng Hing, 26, mengaku bersalah memukul kedua-dua lelaki itu.