Jumaat, 18 September 2015

Kembalikan ISA: Beri peluang pada akta baharu

Kembalikan ISA: Beri peluang pada akta baharu
Dari kiri: Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman dan Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat


SHAH ALAM - Rakyat negara ini perlu memberi peluang kepada akta-akta baharu yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaksanakan sebelum mendesak agar ISA dikembalikan dalam sistem perundangan.

Penganalisis politik berpendapat, sekiranya akta-akta baharu itu mencukupi untuk mengawal keselamatan awam, maka tiada keperluan mengembalikan ISA.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, mengembalikan ISA adalah satu langkah yang berpatah balik.

“Mereka (himpunan baju merah) berhak menyatakan pandangan mereka tapi saya fikir, kita sudah ada undang-undang baharu seperti Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012) dan Akta Anti Keganasan (Pota) dan sebagainya.

“Jadi, saya fikir jika akta-akta yang baharu ini sudah mencukupi untuk mengawal keselamatan awam termasuk mengawal isu keganasan dan isu ekstremisme, maka mungkin kita tidak perlu kembalikan ISA,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, himpunan baju merah mengisytiharkan 14 resolusi yang dibacakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa antaranya menuntut agar ISA dikembalikan.

Mengulas lanjut, Prof Mohamed Mustafa berkata, kajian yang terperinci perlu dilaksanakan bagi menunjukkan bahawa undang-undang sedia ada ini cukup berkesan untuk mengawal ketenteraman negara.

“Penguatkuasaan undang-undang itu lebih penting daripada nak buat undang-undang baharu atau kembalikan yang lama. Pada saya, kalau kita nak kembalikan ISA itu, kita balik ke belakang, sedangkan kerajaan dah buat pindaan kepada undang-undang baharu di mana ia masih berupaya menjamin keselamatan negara.

“ Jangan tergesa-gesa untuk kembalikan ISA kerana kita harus memberi peluang kepada undang-undang yang baharu ini untuk dilaksanakan. Yang penting, penguatkuasaan itu harus tegas. Jika tidak cukup, kita kaji semula aspek-aspek yang boleh diperkasakan,” katanya.

Senada dengannya, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berkata, meskipun ISA telah dimansuhkan, kerajaan telah menggantikannya dengan akta yang lebih jelas.

“Apa yang telah dilakukan kerajaan adalah menuju ke arah hadapan lagi. Walaupun ISA tiada, ada akta-akta lain yang asasnya boleh digunakan untuk mengawal keselamatan negara. Malah akta yang baharu ini lebih jelas berbanding ISA...kenapa kita ditangkap dan sebagainya.

“Kerajaan telah pun memperkenalkan akta-akta yang baharu yang saya kira boleh dan mampu menangani masalah-masalah keselamatan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata mengembalikan ISA adalah tindakan tepat dalam menuju negara maju.

“ISA ini satu akta yang berbentuk preventif atau mencegah. Mencegah ini lebih baik daripada mengubati. Dari segi pembinaan negara, ISA ini amat penting. Cuma apabila kita menghadapi desakan pembangkang yang besar pada 2008 terhadap perundangan atas tiket kemanusiaan. Maka ia didesak supaya dihapuskan. Sedangkan ISA ini satu undang-undang yang amat baik untuk negara.

“Jadi, kesedaran untuk melahirkan semula ISA ini adalah tepat pada masanya kerana negara semakin bergerak ke negara maju, akan menghadapi cabaran yang semakin rumit. Jadi, akta ini diperlukan,” katanya.

Menurutnya, idea mengembalikan ISA mungkin akan ditentang pembangkang namun beliau mengingatkan bahawa walaupun pembangkang penting dalam negara ini, namun rakyat lebih penting kerana mereka yang akan menerima akibat daripada sebarang situasi.

“ISA dulu pun dimansuhkan atas desakan pembangkang. Jadi, mereka akan rasa tercabar jika ia dikembalikan. Pembangkang itu penting dalam negara tapi masyarakat awam atau rakyat itu lebih penting kerana mereka adalah mewakili sebahagian besar rakyat dan merekalah yang akan mendapat kesan. Bukan pembangkang.

“Jadi, untuk kerajaan kaji semula amat penting dan mendapat maklum balas daripada rakyat. Memang wajar untuk dipertimbangkan oleh kerajaan untuk mengembalikan ISA,” katanya.


Tiada ulasan: