Jumaat, 25 September 2015

Jamal nafi terbabit dengan bantahan esok

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menyalahkan media yang didakwanya memutar belit kenyataannya.

jamal


PETALING JAYA: Pengerusi NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos menegaskan dirinya tidak terbabit dengan himpunan Baju Merah yang dihebah akan berlaku pada 26 September di Jalan Petaling.

Tegasnya perkara berkenaan timbul susulan salah faham terhadap kenyataan yang dibuatnya 23 September lalu.

“Kenyataan-kenyataan yang dilaporkan disensasikan oleh media-media dan ia tidak menggambarkan secara tepat apa yang saya jelaskan berkenaan kemungkinan berlaku himpunan pada Sabtu 26 September ini,” katanya kepada FMT.

Jelasnya, kenyataan yang diberinya sebelum ini hanyalah sebagai menzahirkan kebimbangan dan kegusarannya atas kemungkinan berlakunya rusuhan.

Mengulas lanjut, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar turut mendakwa pihak media telah menyiarkan bahagian-bahagian tertentu dari kenyataanya tanpa mengambil kira secara keseluruhan apa yang beliau telah nyatakan dalam sidang media tersebut.

“Perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan pembaca dan boleh disalah tafsirkan oleh umum.
Oleh itu, saya meminta agar pihak media menyiarkan dan melaporkan kenyataan yang tepat secara menyeluruh agar tidak berlaku kekeliruan dan kecelaruan,” ujarnya.

Menurut Jamal, dia sedia untuk memberikan kerjasama jika dipanggil oleh pihak polis sekali lagi.

“Saya sedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis, itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Pada 23 September lalu, Jamal menyatakan rusuhan oleh kumpulan Melayu mungkin berlaku di Jalan Petaling pada Sabtu ini jika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan yang telah dibuat.

““Kalau pihak berkuasa tak mengambil tindakan, saya yakin, 99 peratus akan ada perhimpunan dan mungkin juga akan berlaku satu rusuhan di sana. Hari sabtu ni,” ujarnya pada Rabu lalu.

Tiada ulasan: