Sabtu, 5 September 2015

Jalan kaki 2,000km untuk cuci 130 masjid

Jalan kaki 2,000km untuk cuci 130 masjid
Perasaan sayu menyelubungi ketiga-tiga beranak itu apabila kali pertama bertemu selepas terpisah hampir sembilan bulan


SABAK BERNAM - “Sembilan bulan tak jumpa mereka saya anggap seperti kelahiran baru. Ibaratnya mengandung sembilan bulan menanti kelahiran anak,” demikian kata Asiah Rafiee, 56, ibu kepada dua beradik ‘geng cuci masjid’.

Asiah berkata, naluri keibuannya tersentuh sebaik melihat wajah dua anaknya itu di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak Bernam, 29 Ogos lalu, setelah hampir sembilan bulan tidak bersua muka.

“Sebaik nampak mereka dalam masjid, perasaan rindu bergelojak dalam hati. Tapi perasaan itu terpaksa saya pendamkan sementara kerana terlalu ramai yang mengerumuni mereka pada waktu itu.

“Selepas keadaan terkawal, saya hampiri mereka, perlahan-lahan saya panggil nama Aiman, dan mereka kemudiannya terus menghampiri saya dan kami berpelukan antara satu sama lain,” katanya.

Annas Aiman Jaffry, 27 dan adiknya, Muhammad Aidil, 24, serta seorang rakan mereka, Muhammad Hizammudin Alidin, 25, menyertai ekspedisi kembara berjalan kaki seluruh semenanjung membersihkan masjid sejak 24 Januari lalu.

Sehingga kelmarin, ketiga-tiga mereka telah berjalan sejauh 2,199 kilometer (km) di seluruh semenanjung dan berjaya mengunjungi dan membersihkan 130 masjid.

Asiah memberitahu, pertemuan itu sungguh bererti kepada dirinya, apatah lagi selama ini dia hanya mengetahui perkembangan dua anaknya itu menerusi panggilan telefon dan menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Mengakui pada mulanya berasa berat untuk melepaskan dua anaknya itu, Asiah akhirnya akur selepas mengetahui tujuan sebenar tiga geng cuci masjid itu berjalan kaki untuk membersihkan masjid.

“Mereka yakinkan sayatentang hasrat mereka. Saya tak nak mereka buat kerja separuh jalan dan cepat putus asa. Saya ingatkan, kalau dah tekad, kena buat betul-betul.

“Setiap hari, saya bertahajud dan berdoa serta merestui perjalanan mereka kerana semua ini kerja ALLAH. Saya fikir, niat mereka suci untuk berbakti dan menambah ilmu dengan mengembara. Ini pengorbanan saya dan anak-anak untuk kami sama-sama sucikan hati dan
kita nak rasa pahit getir bagaimana orang-orang dulu merantau.

Sementara itu, Annas Aiman berkata, ekspedisi kembara berjalan kaki membersihkan masjid sejak kelmarin itu memasuki tempoh 223 hari dan dijangka akan tamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebelum ketibaan perayaan sambutan Aidiladha.

“Kami menyasarkan perjalanan ini akan singgah lebih 132 masjid dan Masjid Makmuriah Sungai Besar adalah masjid ke-130 yang kami kunjungi pada hari ini (kelmarin),” ujarnya.

Ditanya tentang misi utama kumpulan itu, Annas Aiman berkata, tujuan utama mereka berjalan kaki membersihkan masjid adalah bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa masjid adalah milik komuniti.

“Kita tahu masjid adalah tempat paling suci. Jadi kita kena jaga tentang kebersihannya, pengimarahan dan memeriahkan majlis-majlis yang diadakan masjid kerana ia adalah tanggungjawab komuniti.

“Tugas ini bukan terletak hanya pada imam, bilal, siak dan pengurusan masjid semata-mata.Anak-anak muda yang datang ke masjid boleh maklumkan kepada pihak masjid minta kebenaran bersihkan tandas dan halaman dan kami rasa itu satu permulaan sosial yang baik untuk anak-anak muda, mendekatkan mereka ke arah masjid.

“Kami juga nak mengajak anak-anak muda keluar dari zon selesa sebab kembara ini menyeronokkan. Setiap hari, adalah hari yang baru, setiap hari adalah nafas yang baru dan setiap hari adalah masyarakat yang baru,” ujarnya. 

Ditanya tentang penerimaan masjid yang mereka singgah, Annas Aiman memberitahu, sambutan kedatangan mereka sungguh menggalakkan selepas berita kembara perjalanan mereka mendapat liputan media.

“Pada awalnya ada masjid takut tengok gaya kami sebab mungkin mentaliti orang yang datang ke masjid terdiri daripada mereka yang berjubah, berjanggut, kami datang dengan gaya anak muda," katanya.

Walaupun tanpa sebarang penajaan tetap oleh pihak tertentu, tetapi Annas Aiman mengakui itu bukanlah sebagai satu halangan untuk berkhidmat kepada masjid dan masyarakat.  

"Apapun, sebarang sumbangan kewangan kami terima dengan rasa syukur. Sesiapa yang ingin beri sumbangan boleh masukkan ke dalam akaun bank CIMB (12051419414523)," katanya


Tiada ulasan: