Ahad, 13 September 2015

Himpunan ‘baju merah’ jejas imej Malaysia di peringkat antarabangsa, kata penganalisis



Himpunan baju merah pada 16 September ini akan hanya beri kesan buruk kepada negara, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 September, 2015.Himpunan baju merah pada 16 September ini akan hanya beri kesan buruk kepada negara, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insider
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Semangat perkauman yang ditiup dan cuba dibangkitkan "himpunan baju merah" pada 16 September ini hanya akan memberi kesan dan imej buruk kepada negara, kata penganalisis. 
 
Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik berkata, beliau mengesyaki himpunan itu didalangi pihak tertentu yang hanya mengeruhkan ekonomi negara.

"Bersih 4 bawa isu nasional, bukan isu perkauman. Itu beza dengan 'merah' yang mereka bawa isu perkauman, dan juga keganasan.

"Berita ini dipaparkan media antarabangsa dan akan jejaskan sentimen pasaran," katanya kepada The Malaysian Insider. 
 
Beliau berkata, lebih banyak cara berkesan untuk memartabatkan kaum Melayu dan bukannya turun ke jalan raya dengan membawa mesej perkauman.
 
"Jika kumpulan baju merah benar-benar ingin memartabatkan Melayu, alangkah baiknya jika semangat tersebut diterjemahkan kepada kerja kesukarelawanan.
 
"Mereka bantu membangunkan masyarakat luar bandar di Borneo atau di Semenanjung sekalipun yang sehingga kini masih ketinggalan dalam banyak prasarana asas kehidupan," katanya.
 
Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan perhimpunan tersebut tidak wajar dilakukan kerana penganjuran bersifat perkauman tidak berasas dan memberikan imej buruk kepada Malaysia.
 
"Ia boleh digunakan masyarakat antarabangsa untuk terus menghentam Malaysia, sebagai negara yang menghadapi krisis.
 
"Ia lebih bersifat reaksi perkauman apabila menggunakan slogan seperti 'kebangkitan maruah Melayu' dan 'mandi darah Cina'.
 
"Bersih 4 walaupun didakwa sebagai didalangi DAP dan disertai rata-ratanya kaum Cina, mempunyai 4 matlamat jelas, yang boleh dianggap sebagai isu genting negara, yang membabitkan semua pihak," katanya.
 
Teo turut menyifatkan perarakan baju merah tidak mempunyai matlamat nasional yang jelas dan masalah politik di antara Cina-Melayu, baju kuning dan merah, tidak boleh dipandang enteng, ia perlu diselesaikan dengan bijak dalam konteks hubungan etnik negara.
 
"Ia manifestasi penyatuan rakyat yang tidak erat," katanya.
 
Minggu ini satu mesyuarat tergempar diadakan 250 Badan Bukan Kerajaan NGO Melayu menyatakan sokongan terhadap perhimpunan baju merah atau dikenali sebagai "Himpunan Maruah Melayu" dan akan diteruskan walaupun diharamkan polis.
 
Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia Datuk Jamal Md Yunos berkata, perhimpunan akan dijalankan secara aman, tanpa niat untuk membuat sebarang rusuhan atau kekecohan.
 
"Soal polis tak bagi, itu terpulang pada mereka," kata Jamal yang bertindak sebagai jurucakap 250 NGO Melayu yang menyokong perhimpunan baju merah anjuran Persatuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka) itu.


Tiada ulasan: