KUALA LUMPUR, Penari 36, tahun minta dibicarakan selepas didakwa melakukan ‘tindakan berkelakuan menghina’ kerana mencetuskan provokasi yang boleh membawa kepada mengganggu keamanan selepas melepaskan belon daripada tingkat lima, sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang pada 31 Ogos lalu.


Bilqis Hijjas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda RM100.

Timbalan pendakwaraya Shukor Abu Bakar dan Mohd Farizul Hassan Bakri meminta mahkamah untuk mengenakan denda RM500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Bilqis, Michelle Yesudas membantah jumlah denda dan menyatakan jumlah denda yang dicadangkan itu adalah tinggi berbanding yang diperuntukan di bawah seksyen berkenaan.

“Kelakuaan (melepaskan belon) adalah bukan kesalahan jenayah yang bahaya dan tiada senjata yang terlibat.

“Jaminan itu diberi bagi memastikan anak guam saya hadir di mahkamah namun dia tiada sebab untuk melarikan diri.

“Anak guam saya adalah penari terkenal dan terbabit dengan beberapa organisasi termasuk syarikat tarian Aswara,” katanya.

Majistret Nur Azura Murah menetapkan jaminan RM500 dengan seorang penjamin dan mentetapkan 26 Oktober untuk pengurusan kes.

Terdahulu, suasana di lobi Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini ‘meriah’ dengan kebanjiran belon berwarna kuning mewarnai suasana, hari ini.

Pada belon berkenaan terdapat perkataan ‘Justice’ (keadilan), Democracy (demokrasi), ‘Corruption’ (rasuah) dan ‘Free Media’ (bebaskan media).

Bilqis yang turut digelar ‘gadis belon’ hadir ditemani bapanya yang merupakan arkitek terkenal, Hijjas Kasturi dan isteri, Angela Hijjas.

Bilqis turut dilihat mengedarkan belon kuning kepada orang ramai di lobi mahkamah.

Suasana di perkarangan Mahkamah itu menarik perhatian ramai di mana orang ramai dilihat merakam gambar kumpulan yang hadir memegang belon itu.

Turut hadir, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan ahli jawatankuasanya Mandeep Singh serta wakil daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Malaysia Untuk Malaysia.

Azrul Mohd Khalid dari Malaysia Untuk Malaysia hadir dengan membawa bunting tertulis ‘Kami tidak akan takut, gentar atau terancam … Berunding. Tunjukkan. Menentang (We will not be intimidated, cowed or threatened…Negotiate. Demonstrate. Resist.)

Rakan kepada Bilqis yang hanya mahu dikenali sebagai Sae Min menunjukkan sokongan dan solidariti dengan mengedarkan belon kuning kepada orang ramai.