Selasa, 22 September 2015

Exco Pas Selangor kekal

Nik Nazmi
 
 
SHAH ALAM - Posisi tiga Exco Pas di Selangor tidak akan dirombak meskipun Pakatan Harapan terbentuk tanpa penyertaan Pas.
 
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembentukan Pakatan Harapan tidak akan mengubah landskap politik di Selangor malah kerjasama tetap diteruskan seperti biasa.
 
 
“Tak ada perubahan atau rombakan kerana dalam  keadaan sekarang  Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berhak melantik mana-mana wakil rakyat yang memberi keyakinan kepada beliau.

“Situasi yang kita lihat sekarang wakil rakyat daripada PKR, DAP, Pas dan Amanah kesemuanya beri keyakinan kepada Azmin untuk menjadi menteri besar. Itu asas beliau dilantik selaku menteri besar,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Wifi Selangorku 2015, di sini, hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga menegaskan, pembentukan Pakatan Harapan tidak menjejaskan Kerajaan Selangor.

“Isunya kerajaan di sini  tidak pernah timbul soal rombakan kerana sebelum ini PR wujud dalam keadaan DAP umumkan  tiada lagi  pakatan namun kita tetap teruskan juga Kerajaan Negeri Selangor sebab mana-mana kerajaan dibentuk atas keyakinan wakil rakyat terhadap menteri besar.

“Menteri besar berhak melantik mana-mana Exco jadi maka barisan yang ada dikekalkan sejak zaman wujudnya PR,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata, pembentukan Pakatan Harapan bukanlah isu yang harus dibimbangkan kerana tiada perubahan yang akan berlaku.
 
 

Tiada ulasan: