Rabu, 23 September 2015

Demi perpaduan, Perkasa terus berjuang untuk sekolah satu aliran

 
Peristiwa Low Yat dan kebangkitan isu-isu sensitif termasuk mempersoalkan peruntukan Perlembagaan dikatakan berlaku kerana latar pendidikan pelbagai bahasa.


sekolah-1malaysia


PETALING JAYA: Perkasa Malaysia menyokong sepenuhnya sistem sekolah satu aliran bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali dan menghormati antara satu sama lain.

Pengerusi Biro Pendidikan, Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, kerapuhan perpaduan yang berlaku akhir-akhir ini dikaitkan dengan sistem pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang berlainan.

Katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Abdul Wahid Omar terhadap sistem sekolah satu aliran dalam akhbar Utusan Malaysia pada 22 September 2015 itu adalah tepat pada masanya.

“Isu utama yang masih menghantui negara sejak merdeka hingga kini adalah perpaduan nasional yang agak rapuh.

“Kalau tidak, peristiwa Low Yat tidak akan berlaku. Dari semasa ke semasa ada sahaja pihak yang membangkitkan isu sensitif serta mempersoalkan peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Walaupun tidak menentang pemerkasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan juga pembelajaran bahasa ibunda, Perkasa berjanji akan terus berjuang untuk memartabatkan pendidikan satu aliran menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

” Oleh itu, kami menyeru semua pihak yang benar-benar cintakan perpaduan dan kedamaian menyokong saranan kementerian dan kerajaan pula mempertimbangkan perkara ini dengan serius untuk segera dilaksanakan,” tambah Sirajuddin.

Tiada ulasan: