RAWANG, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bersedia untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara melibatkan syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Selangor, Darul Ehsan Investment Group (DEIG).


Azmin mengulangi kesediaan tersebut sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang bersedia melakukan proses audit terhadap syarikat tersebut.

“Itulah pendirian saya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya dah nyatakan sebelum ini di mana DEIG sedia untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor, saya dah nyatakan komitmen ini dalam Dewan.

“Jadi kalau sekarang disambut baik oleh Ambrin, sangat baik dan bagus. Masuk..tapi masuk, (DEIG) belum beroperasi nak buat apa?,” katanya di dalam sidang media pelancaran Rumah Selangorku Idaman PKNS di sini, hari ini.

Pada Isnin, Ambrin berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk menjalankan pengauditan terhadap penubuhan DEIG, jika ia berada di bawah bidang kuasanya.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming turut menggesa Azmin untuk membuktikan ketelusan yang bakal diamalkan di dalam DEIG dengan melakukan semakan firma terhadap Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Ini kerana menurut beliau, MBI tidak disemak selama lima tahun sejak zaman pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku menteri besar negeri itu.